PERBUATAN seorang pemandu syarikat bas persiaran tempatan yang didakwa bercumbu dan lewat tiba pada jadual ditetapkan, mengundang 1,001 kemarahan penumpang di Stesen Terminal Bas Larkin, Johor Bahru, Johor pada Isnin.
Perkara itu tercetus selepas bas terbabit terlebih dahulu dikatakan lewat tiba di stesen berkenaan yang memaksa penumpang menunggu lebih tiga jam sebelum bertolak ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur.
Lebih memalukan apabila pemandu terbabit yang merupakan seorang wanita, dirakam bercumbu dengan kakitangan syarikat berkenaan ketika memandu di lebuh raya.
Situasi itu sekali gus mengundang kecaman penumpang yang kurang berpuas hati dengan sikap sambil lewa dan tidak bertanggungjawab dipamerkan kru syarikat berkenaan.
Rakaman berdurasi 14 saat itu tular di laman media dan meraih lebih 50,000 jumlah tontonan setakat ini.
Dalam pada itu, jurucakap syarikat bas berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai Rex berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung isu tersebut.
"Kami baru maklum akan kejadian itu dan siasatan akan dilakukan terhadap video tular berkenaan.
"Harap orang ramai tidak kongsikan rakaman itu dan tindakan akan dikenakan terhadap pemandu sekiranya dia didapati bersalah," katanya kepada Majoriti.
Sementara itu, beberapa saksi juga tampil di media sosial menafikan dakwaan tersebut, selain menyifatkan ia sebagai fitnah.
Salah seorang penumpang bas tersebut mendakwa, kedua-dua staf terbabit sebenarnya sedang memperbetulkan radio dan bukannya bercumbu seperti didakwa.
"Fitnah, saya dan suami saksi kejadian sebab kerusi kami betul-betul di belakang mereka, pemandu lelaki itu sedang betulkan sesuatu dekat radio belakang kerusi pemandu, aku dan suami tengok dengan mata sendiri.
"Untuk pengetahuan, pemandu dah maklumkan laluan sesak dari Ayer Keroh ke Larkin dan kami pun percaya sebab masa dalam perjalanan ke TBS memang sesak sangat jalan.
"Pemandu wanita itu bekerja separuh masa dan tak mahir laluan di situ, jadi pembantu lelaki itu tolong masukkan gear dan bagi arahan laluan yang betul," dakwa anisjey15.
Dalam perkembangan terkini, kedua-dua pelaku disahkan telah dikenakan pemotongan gaji terakhir, selain dibuang kerja serta-merta oleh syarikat bas berkenaan.
Jelas jurucakap itu, setiap pemandu di syarikatnya akan diberikan kelas latihan memandu tambahan pada setiap bulan susulan insiden memalukan tersebut.
Tiada sebarang kemalangan mahupun kekecohan yang berlaku selepas daripada kejadian terbabit dan orang ramai dinasihati untuk tidak mencetuskan spekulasi berhubung hal berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram