[VIDEO] Lagi kes curi kabel TM, polis buru 2 suspek pandu Wira, Accord


  • 112
  • Rabu, 15 Nov 2023

Tangkap layar dua pemandu didakwa mencuri kabel TM melarikan diri sebaik kegiatannya disedari orang ramai.

DUA suspek memandu kereta jenis Proton Wira berwarna putih dan Honda Accord kuning diburu polis selepas kedua-duanya dipercayai terlibat dalam kes kecurian kabel telekomunikasi di kawasan Air Itam, George Town, Pulau Pinang pada Isnin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, pihaknya dimaklumkan dengan satu video tular berdurasi 13 saat yang dimuat naik seorang pemilik akaun di Twitter.

Menurutnya, polis bagaimanapun telah menerima laporan daripada seorang kakitangan syarikat telekomunikasi yang dibuat di Balai Polis Bandar Baru, Air Itam.

"Pengadu mengatakan hasil pemeriksaan yang dibuat, kira-kira pukul 8.30 pagi di kawasan Air Itam mendapati tujuh batang kabel telah hilang dan empat batang kabel telah dipotong serta ditinggalkan di atas jalan.

"Suspek telah melarikan diri dari tempat kejadian selepas menyedari kakitangan syarikat telekomunikasi tersebut.

“Kedua-duanya memandu kereta jenis Proton Wira dan Honda Accord dan polis masih dalam tindakan mengesan suspek yang terlibat dalam kes tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau memberitahu lagi, anggaran kerugian adalah bernilai RM15,000 dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Untuk rekod, kes terbabit bukan kali pertama berlaku di negeri berkenaan apabila seorang lelaki dicekup menyamar sebagai sebagai kontraktor Telekom Malaysia (TM) untuk mencuri kabel di pekan Berapit, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Oktober lalu.

Hasil siasatan polis mendapati, suspek lelaki berusia 20-an yang berjaya ditahan itu mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan polis kini giat mengesan tiga rakannya untuk membantu siasatan berhubung kes tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram