Dituduh bunuh rakan kongsi warga emas di Terengganu, wanita berdepan hukuman mati


Tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang selepas didakwa membunuh warga emas di tepi jalan besar berhampiran Pejabat Agama Hulu Terengganu di Kuala Berang, Terengganu pada 1 November lepas. — Bernama

SEORANG wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang, Terengganu pada Rabu, atas tuduhan membunuh wanita warga emas yang juga rakan kongsi perniagaannya di tepi jalan besar berhampiran Pejabat Agama Hulu Terengganu di Kuala Berang, Terengganu dua minggu lepas.

Tertuduh Nooraini Remali, 35, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan manakala tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Norzihan Abd Karim, 65, di hadapan pos pengawal Telekom Malaysia, Batu 23, di Kuala Berang dekat Hulu Terengganu, antara pukul 3.20 pagi hingga 4 pagi pada 1 November lepas.

Kesalahan itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Majistret Zur Azureen Zainalkefli, menetapkan 15 Januari depan sebagai sebutan semula kes sementara menunggu hasil laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Akmal Mohd Jazlee manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Hayyi Salim.

Sebelum ini seorang wanita ditahan pada 1 November lepas setelah mayat mangsa dengan 15 kesan tikaman di badannya ditemukan pengawal keselamatan di dalam longkang dekat tepi jalan besar berhampiran Pejabat Agama Hulu Terengganu, Kuala Berang pada pukul 4.35 pagi. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram