'Seakan-akan mimpi,' Hai-O beri ucapan khas lepas bantu Sang Penyu juarai Piala MFL


  • Podium
  • Selasa, 14 Nov 2023

Kredibiliti serta kebolehan Hai-O menaikkannya sebagai salah seorang jurulatih tempatan terbaik ketika ini. — Facebook/Terengganu FC

KEJAYAAN bersejarah direkodkan Terengganu FC II dalam saingan Piala MFL musim ini dengan kemenangan ke atas Johor Darul Takzim (JDT) II baru-baru ini melengkapkan tahun bersejarah mereka.

Dua kekalahan sepanjang musim menjadi bukti bahawa kelab Pantai Timur itu sememangnya sukar digugat dengan lambakan pemain berkualiti menjadi tulang belakang mereka.

Namun, bagi sesetengah pihak, kejayaan pasukan berpunca daripada ketua jurulatih, Hairuddin Omar yang cukup pintar dalam menyusun taktikal.

Meskipun tidak memiliki pengalaman mendalam dalam bidang kejurulatihan, bekas pemain kebangsaan berkenaan masih berkemampuan untuk mencipta kejutan.

Selain mempamerkan kebolehannya di atas padang, Hairuddin juga dikatakan mempunyai karakter yang memudahkannya memiliki hubungan baik dengan pemain Terengganu FC II.

WhatsApp Image 2023-11-14 at 18.12.00

Ucapan khas diberikan Hairuddin buat barisan kejurulatihan dan pemain Sang Penyu. Twitter/Terengganu FC

Ciri-ciri tersebut membuatkan pengendali terbabit amat popular dalam kalangan penyokong skuad Sang Penyu yang terus mengharapkannya untuk terus kekal untuk musim akan datang.

Perasaan itu seperti juga dirasai Hairuddin yang turut dikenali sebagai Hai-O dalam satu ucapan khas yang diberikan jurulatih berusia 44 tahun terbabit baru-baru ini.

"Berjaya membawa pasukan menjadi juara sekaligus mencipta sejarah baru buat kelab ini sebagai kelab sulung yang berjaya menjulang Piala MFL pada tahun pertama ia dipertandingkan, ia seakan-akan satu mimpi.

"Dengan mencatatkan 17 kemenangan, 3 kali seri, hanya tewas dua kali dan berjaya menjaringkan 30 gol sepanjang saingan, ia adalah satu pencapaian cemerlang dipamerkan oleh pasukan ini," katanya.

Hairuddin sebelum ini memikul tanggungjawab sebagai salah seorang pembantu jurulatih kepada Nafuzi Zain dalam skuad senior Terengganu FC pada musim 2022.

401146806_3686969721581720_105561877203167598_n

Skuad muda Sang Penyu ditabalkan juara Piala MFL 2023 selepas satu musim yang sempurna. Facebook/MFL

Selain itu, dia juga pernah meraih pengalaman dalam bidang tersebut apabila dilantik sebagai pembantu kepada Bojan Hodak dalam skuad Bawah 19 Tahun (B-19) Harimau Malaya.

Ia pastinya memberi satu kelainan dalam karier singkat Hairuddin yang boleh diangkat sebagai salah seorang jurulatih tempatan muda terbaik.

Dalam pada itu, Hai-O juga sempat memberi ucapan penghargaan terhadap Terengganu FC kerana sanggup memberi peluang buatnya mengendalikan skuad muda Sang Penyu.

"Dikesempatan ini juga, saya ingin memberikan penghargaan serta kredit buat semua yang terlibat dalam kejayaan pasukan Terengganu FC II ini.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih buat pengurus pasukan, barisan kejurulatihan, keseluruhan pegawai dan pembantu pasukan serta para pemain Terengganu FC II," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram