AKSI cemerlang dipamerkan ubi muda meningkat naik Terengganu FC (TFC), Muhammad Syahmi Zamri kian mencuri tumpuan peminat dan pemerhati bola sepak kebangsaan.
Muncul sebagai penyelamat pasukan ketika menentang kelab Indonesia, Bali United di Stadium Kapten 1 Wayan Dipta Gianyar, Bali, Indonesia dalam aksi kedua Piala AFC lalu, menjadikan kelibatnya semakin digeruni benteng pertahanan lawan.
Pemain berusia 23 tahun itu mengganas di Bali apabila menjaringkan gol berharga pada minit ke-84 yang menyaksikan TFC berjaya mengikat tuan rumah 1-1.
Berjaya membalas kepercayaan jurulatih Tomislav Steinbruckner yang menyenaraikannya dalam skuad utama, persembahan dipamerkan telah membuka mata semua pihak akan kewujudan pemain pelapis berkualiti dimiliki skuad Penyu.
Syahmi Zamri mempamerkan aksi cemerlang bersama skuad utama Terengganu. — Facebook/TFC
Namun, baru sahaja namanya disebut-sebut pelapis jangka masa panjang TFC, segelintir peminat bola sepak tanah air sudah mula membayangkan perpindahan pemain itu ke pasukan Johor Darul Takzim (JDT) pada musim depan.
Ia susulan permintaan ramai yang mahu menyaksikan penyerang versatil itu kembali beraksi bersama rakan lamanya, Feroz Baharuddin di Harimau Selatan.
Pernah bernaung di bawah Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Kota Tinggi, Johor pada usia belasan tahun, kedua-dua pemain itu merupakan antara produk yang masih relevan dilahirkan sekolah sukan tersebut dan kian 'laku keras' di pasaran bola sepak tanah air.
Selain itu, Feroz dan Syahmi juga pernah dihantar berguru bersama tiga kelab futsal terbaik di Thailand iaitu Bangkok FC, Nonthaburi FC dan Chonburi FC pada 2016.
Ia susulan aksi cemerlang dipamerkan 12 pemain bawah 16 tahun pada aksi Grand Finale Hidup Bola Milo 2016 yang melayakkan mereka menimba pengalaman di kelab terbabit.
Syahmi Zamri dan Feroz Baharuddin merupakan penuntut di SSTMI, Kota Tinggi, Johor.
Dengan penyatuan semula kedua-dua pemain itu, diyakini mampu membuahkan hasil serta peningkatan dalam skuad Harimau Selatan khususnya sebagai prospek pelapis yang mampu menggantikan tonggak utama JDT ketika ini.
Memiliki kelajuan dan kawalan bola yang kemas merupakan antara faktor terbesar nama Syahmi Zamri dicanang selaku pemain baharu JDT musim depan.
"Tak rugi kalau ambil Syahmi ini, dia ada kelajuan dan boleh pegang bola lama, paling penting dia rajin naik turun padang bantu bahagian serangan bila perlu," kata Mohd Zulfikri.
"Syahmi ada bakat dan skil kawalan bola tenang, taktikal individu pun ada, memang peluang cerah untuk diserap ke dalam skuad JDT nanti," ujar Zolfi Zol.
"Tak lama ini, dua-dua akan berjumpa semula di JDT, nampak usia pun masih muda, boleh bentuk pasukan kedua dengan Feroz di JDTII," tambah Adli Mansor.
"Ada harapan musim depan satu pasukan dua pemain ini, dulu pun pernah satu sekolah jadi tak mustahil akan ditemukan semula dalam satu padang latihan sama," jelas Adib Adam.
Untuk rekod, Syahmi Zamri sebelum ini turut mencatat nama selaku penjaring dalam aksi Piala Malaysia menentang Selangor FC pada aksi pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu September lalu.
Dia yang hanya dimasukkan sebagai pemain gantian, berjaya membuktikan betapa kelibatnya layak berada dalam skuad utama skuad Penyu untuk perlawanan akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram