Amirbek antara 3 alternatif YCL ganti Azalinullah di Perak FC


  • Podium
  • Selasa, 14 Nov 2023

Muhammad Azalinullah pernah hasratnya untuk ingin kembali berbakti bersama negeri kelahirannya, Terengganu. — Facebook/Perak FC

NAMA pemain tengah Perak FC, Muhammad Azalinullah Mohammed Alias baru-baru ini mencetuskan kesedihan dalam kalangan penyokong skuad Seladang apabila dikhabarkan mendapat tawaran daripada beberapa kelab Liga Super tanah air.

Muhammad Azalinullah yang sebelum ini tiba di Ipoh pada jendela perpindahan Julai lalu itu berkongsi bahawa kelab dalam kelompok lima pasukan terbaik saingan Liga Super antara yang memburu khidmatnya musim depan.

Selain daripada berita menerima tawaran daripada kelab lain itu, arkitek The Bos Gaurus (TBG) itu juga menyuarakan hasratnya untuk ingin kembali berbakti bersama negeri kelahirannya, Terengganu dengan menyarung semula jersi Terengganu FC (TFC).

Sebelum ini, bekas tonggak Harimau Muda C itu beraksi untuk pasukan Terengganu sebelum dia diketepikan oleh jurulatih skuad Sang Penyu, Tomislav Steinbruckner berikutan banyak pilihan pemain di bahagian tengah.

Sekiranya pemain berusia 27 tahun itu tidak menerima lanjutan kontrak dari Perak FC yang berakhir pada Disember ini ataupun memilih untuk menyertai kelab lain, Yusri Che Lah perlu mencari pengganti Muhammad Azalinullah.

Daripada mencari ubi muda di skuad simpanan sehingga lubuk pemain di kelab yang mempunyai masalah gaji, berikut tiga alternatif boleh digunakan oleh Yusri untuk mencari pengganti Muhammad Azalinullah pada musim depan:

1) Pemain muda/simpanan (Hadi Mohamad)

WhatsApp Image 2023-11-13 at 17.20.20

Hadi (kiri) diturunkan ketika aksi Liga Super menentang PDRM FC. — Agensi

Perak FC musim ini terkenal dengan keupayaan pemain mudanya, yang mana rata-rata mereka berhasil mengeluarkan potensi masing-masing apabila diberi peluang bermain bersama skuad utama oleh pengendali kelahiran Perlis berkenaan.

Antara pemain dari skuad simpanan Perak yang mendapat kesempatan berharga itu ialah Hadi Mohamad apabila Yusri memberinya peluang untuk beraksi di saingan Liga Super sebanyak tiga kali.

Hadi yang juga mempunyai posisi persis Muhammad Azalinullah iaitu sebagai central midfield itu juga boleh beraksi dengan peranan berbeza sebagai penyerang sayap serta bek tengah dan ia dibuktikan dalam tiga aksi Liga Super dia diturunkan.

Dalam saingan Piala MFL pula, pemain berusia 23 tahun itu sudah beraksi dalam 14 perlawanan dan sembilan daripadanya Hadi diberi kepercayaan untuk beraksi sebagai kesebelasan utama Perak FC II.

Dengan pengalaman pernah beraksi bersama skuad utama dan berbakat dalam posisi berlainan, Hadi bukan hanya menjadi pengganti Muhammad Azalinullah, malah tidak keterlaluan untuk mengatakan ubi muda itu antara aset berharga Perak.

2) Sambar pemain kelab bermasalah gaji (Akram Mahinan)

WhatsApp Image 2023-11-13 at 17.20.20-2

Akram menyertai KL City pada musim 2020. — Facebook/KL City

Akram Mahinan antara arkitek tanah air yang boleh dikatakan underrated walaupun sumbangannya bersama Kuala Lumpur (KL) City FC sangat besar sehingga berhasil membantu skuad Warga Kota itu ke pusingan akhir.

Antara momen indah untuk menggambarkan kualiti pemain kelahiran Kulim, Kedah itu ialah ketika gerak-geri dan corak permainan yang ditampilkan ketika aksi akhir Piala AFC menentang Al Seeb.

Walaupun skuad Warga Kota tewas 0-3 pada pentas akhir Piala AFC itu namun persembahan pemain tengah itu mendapat pujian menggunung daripada para penyokong bola sepak tanah air.

Meskipun KL City mempunyai masalah gaji musim ini, Akram masih menunjukkan komitmen terhadap kelab Lembah Klang itu apabila sudah diturunkan dalam 11 perlawanan Liga Super.

Perpindahannya ke Perak FC boleh berlaku sekiranya Akram sudah penat dengan tunggakan gaji The City Boys, selain kehadirannya ke skuad Yusri itu juga diyakini mendapat restu kebanyakan penyokong pasukan Seladang.

3) Pemain import (Amirbek Juraboev)

amirbek

Amirbek menyertai Kedah awal musim ini. — Facebook/KDA FC

Amirbek Juraboev yang tiba pada awal Januari lalu semakin hilang tempat sebagai kesebelasan utama Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas kemasukan Moses Atede ketika jendela perpindahan Julai lalu.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang Amirbek untuk beraksi bersungguh-sungguh setiap kali diberikan minit permainan meskipun sebagai pemain gantian.

Selain daripada terpaksa berebut posisi dengan pemain import dari Bahrain, tonggak tengah Tajikistan itu juga terpaksa menerima hakikat majikannya kini sedang dilanda masalah tunggakan gaji.

Dua perkara tersebut pasti boleh menjadi alasan untuk Amirbek membuka hatinya menyertai kelab lain seperti Perak FC yang kini sememangnya memerlukan khidmat pemain tengah untuk menggantikan Muhammad Azalinullah.

Sejak menyarung jersi Kedah, pemain berusia 27 tahun itu sudah tampil dalam 19 perlawanan Liga Super, selain membantu Kedah menyumbat lima jaringan gol pada musim ini dan dua daripada ketika aksi menentang Perak Pada Jun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram