KEJAYAAN bersejarah dicatatkan Terengganu FC II dalam edisi sulung Piala MFL apabila mereka muncul juara setelah menundukkan Johor Darul Takzim (JDT) II.
Dalam aksi final di Stadium Cheras, Kuala Lumpur (KL) pada Sabtu, skuad bimbingan Hairuddin Omar meraih kemenangan tipis 1-0 untuk membawa pulang kejuaraan tersebut.
Gol tunggal dalam pertembungan itu dijaringkan pemain gantian, Isa Raman yang dibawa masuk pada penghujung permainan untuk menggantikan Syahmi Zamri.
Keputusan Hairuddin boleh dianggap cukup tepat apabila Isa yang kurang dikenali ramai pintar menghukum kealpaan Aysar Hadi Shapri apabila pemain terbabit gagal mengawal hantaran rakan sepasukannya.
Kemenangan tersebut pastinya cukup diraikan rata-rata penyokong skuad Sang Penyu yang cukup berbangga akan pencapaian pasukan muda tersebut.
Isa Raman dilihat berpuas hati selepas menjaringkan gol kemenangan buat Terengganu FC II. — Facebook/MFL
Malah, ia turut diraikan Isa yang mengakui dirinya tidak menyangka bahawa kejayaan akan berpihak kepada Terengganu FC II melihat kepada kualiti pemain skuad Harimau Selatan yang diturunkan.
"Bagi saya, kedua-dua pasukan sememangnya cukup bagus dan kita tidak menafikan bahawa JDT II menurunkan tiga import dan kita tidak sangka bahawa kita akan menjadi juara.
"Tetapi, memang tujuan saya masuk pada babak kedua adalah berdasarkan taktikal coach Hai-O (Hairuddin) untuk menjaringkan gol," katanya kepada MFL.
Dalam saingan Piala MFL 2023, Isa Raman diturunkan sebanyak 18 kali dengan tiga gol dijaringkannya buat Terengganu FC II yang mencatatkan satu musim sempurna di bawah kendalian Hai O.
Selain hanya mengalami satu kekalahan, kekuatan kelab Pantai Timur berkenaan juga sukar digugat dengan mereka mudah menundukkan setiap lawan yang dihadapi.
Dalam pada itu, pertahanan skuad Sang Penyu, Ubaidullah Shamsul Fazili yang diangkat sebagai pemain terbaik Piala MFL juga tidak menyangka dia akan diberikan penghargaan sebegitu.
"Alhamdulillah, saya tidak sangka anugerah tersebut akan dapat kepada saya kerana saya hanya bermain seperti mana diarahkan dengan posisi saya juga agak sukar.
"Ini kerana dalam sesi latihan, saya bermain sebagai bek tengah tetapi dalam perlawanan ini posisi saya ditukarkan secara mengejut," katanya.
Bagaimanapun, percaturan Hairuddin jelas tidak mematahkan semangat pemain terbabit yang berjaya mengunci jentera serangan JDT II sepanjang 90 minit permainan.
Ubaidullah boleh diletakkan sebagai tonggak utama Terengganu FC II dalam saingan Piala MFL 2023 apabila dia sering diturunkan sebanyak 16 kali.
Kecemerlangan Ubaidullah membolehkannya meraih gelaran pemain terbaik Piala MFL 2023. — Facebook/MFL
Selain itu, pemain berusia 19 tahun tersebut sudah diberikan kepercayaan untuk beraksi bersama skuad senior dengan empat penampilan Liga Super sudah dicatatkannya.
Bagaimanapun, dia tidak meletakkan sasaran tinggi untuk terus beraksi dalam pasukan kendalian Tomislav Steinbruckner yang akan berentap dalam perlawanan akhir Piala Malaysia.
"Setakat ini, saya tidak buat sebarang perancangan untuk perlawanan itu kerana kita sendiri tidak tahu siapa akan diturunkan.
"Tetapi, jika saya diturunkan, saya akan beraksi secara 110, 120 peratus dan gunakan kemenangan ini sebagai satu motivasi di pentas final Piala Malaysia," katanya.
Terengganu FC akan berdepan JDT dalam perlawanan akhir itu yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, KL pada 9 Disember depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram