Terpulang 'best offer' JDT atau 'loyalty' kepada TFC


  • Podium
  • Isnin, 13 Nov 2023

Selain beraksi untuk pasukan Sang Penyu, Azam Azmi juga menabur bakti bersama skuad kebangsaan. — Facebook/FAM

MUSIM Liga Super untuk tahun 2023 semakin menemui titik penamat, jadi tidak hairanlah jika ada aktiviti untuk mendapatkan pemain baharu bagi persediaan sesebuah pasukan.

Dalam pada itu, nama pertahanan kanan Terengganu FC, Azam Azmi Murad menjadi bualan ramai kerana kualitinya.

Dilihat sebagai antara pemain pertahanan kanan berkualiti dalam negara, tidak hairan jika Azam menjadi rebutan pasukan-pasukan utama Liga Super antaranya Johor Darul Takzim (JDT).

Azam

Joe memuat naik siaran Azam menandatangani kontrak. — Instagram/@joe_berbatov

Meskipun terdapat desas-desus mengenai masa depan Azam bakal meninggalkan pasukan itu namun spekulasi tersebut mula reda selepas ejennya, @joe_berbatov memberi isyarat yang dia dijangka kekal bersama Sang Penyu.

Mengulas perkara itu, penganalisis bola sepak tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli memberikan pandangan bahawa perpindahan Azam ke JDT merupakan peluang yang baik jika melihat kepada fasiliti pasukan yang berpangkalan di Selatan itu.

"Untuk Azam sendiri ia adalah peluang terbaik kerana kalau sebagai pemain bola sepak di negara kita ini, JDT adalah satu pasukan yang menjadi impian bagi mana-mana pemain bola sepak.

"Mungkin dia akan dapat offer yang lebih tinggi dan pastinya ia adalah satu jaminan masa depan untuk Azam.

"Satu lagi peluang untuk Azam meningkatkan mutu permainan sebab dia akan berada dengan pasukan yang mempunyai fasiliti lengkap," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, sekiranya pemain kelahiran Penang itu menabur bakti bersama Harimau Selatan, tentunya dia berpeluang untuk berlatih bersama pemain-pemain berkualiti di JDT.

"Bukan nak kata Terengganu tak profesional tetapi JDT adalah kelab yang betul-betul profesional dengan gaji yang tinggi, benefit dan kebajikan pemain yang lebih terbela.

"Azam juga berpeluang untuk berada dalam kelompok pemain yang hebat-hebat dan terbaik, sudah pasti ia adalah satu motivasi untuk meningkatkan permainan apabila berada dalam pasukan seperti JDT," jelasnya.

WhatsApp Image 2023-11-13 at 19.34.51

Azam Azmi menjadi buruan pasukan-pasukan utama Liga Super. — Facebook/Terengganu FC

Di samping itu, beliau juga berpendapat bahawa, pasukan Terengganu akan rugi sekiranya melepaskan Azam ke JDT.

"Tetapi pada waktu yang sama mungkin sedikit kerugian kepada pasukan Terengganu kerana dia merupakan tonggak utama bagi pasukan itu.

"Terengganu pastinya merasakan satu ralat apabila pemain yang dibentuk oleh pasukan sendiri yang menjadi harapan untuk beberapa musim lagi tapi ditawarkan oleh pasukan yang berkelebihan.

"Tetapi kita jangan lupa, inilah bola sepak profesional, tak perlu kita persoalkan tentang loyalty kepada pasukan.

"Kerana inilah namanya profesional yang mana siapa yang best offer, sudah pasti tawaran yang terbaik itulah menjadi impian setiap pemain," ujarnya.

Beliau bagaimanapun turut berkata, pemain berketinggian 1.74 meter itu tidak boleh membuat sebarang keputusan kerana masih mempunyai kontrak bersama TFC.

"Cuma, difahamkan, Azam masih ada kontrak bersama Terengganu FC sehingga musim 2025.

"Perlu ada pelepasan dari Terengganu untuk melepaskan kontrak dia, mungkin ada transfer fee dan sebagainya.

"Apa pun, ini bukan hanya hak kepada player tapi Terengganu FC juga ada hak, sekiranya mereka tidak mahu melepaskan atau tidak bersetuju dengan syarat antara kedua-dua pihak.

"Sekiranya Azam mahu ke JDT atau JDT nak Azam, di akhir cerita nanti, hanya Terengganu FC yang bertanggungjawab membuat keputusan sama ada mahu melepaskan atau tidak," kongsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram