'Jika perlu libatkan polis, akan dilakukan segera', Hannah Yeoh ambil serius isu pergaduhan Liga B-16


  • Podium
  • Khamis, 09 Nov 2023

Hannah Yeoh pandang serius insiden pergaduhan membabitkan pasukan Akademi MZ dan FCKL Eagles dalam saingan Liga Superimau FAM B-16 baru-baru ini.

"SAYA tak gembira dengan situasi ini."

Itulah luahan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang mengambil serius isu pergaduhan membabitkan pasukan Akademi MZ dan FCKL Eagles dalam saingan Liga Superimau FAM B-16 di Padang New Camp, Damansara pada Ahad lalu.

Ia dianggap serius dengan beberapa insiden yang tidak sepatutnya berlaku itu merosakkan suasana ketika umum mengetahui ia hanya sebuah aksi bola sepak di peringkat akar umbi, lapor Stadium Astro.

"Saya tidak akan bertoleransi, saya sedang tunggu laporan penuh daripada pihak penganjur, jika ia perlu melibatkan polis, ia akan di lakukan dengan kadar segera.

"Jika pembentukan atlet dipalit dengan isu sebegini, bagaimana kita mahu melahirkan jagoan negara yang memiliki sikap sebenar sebagai seorang atlit bertaraf dunia?" katanya dalam Majlis flagoff e-sukan bagi Kejohanan Antarabangsa Honour of Kings 2023 di MSN Bukit Jalil pada Rabu.

Tegas Hannah, pihak penganjur perlu peka dan bertanggungjawab dengan insiden yang berlaku.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan satu insiden pergaduhan melibatkan pemain dan penyokong dalam kalangan ibu bapa kedua-dua pasukan berpunca disebab ketidakpuasaan hati.

Perkara itu dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook, Afiff Aizad Azman yang nyata kecewa dengan sikap sesetengah ibu bapa yang seakan-akan mendorong anak mereka dalam melakukan keganasan.

Menerusi hantarannya itu, pengguna Facebook itu juga memuat naik gambar kecederaan belakang seorang individu dewasa dan difahamkan berpunca daripada pergaduhan di perlawanan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram