MASALAH tunggakan gaji kini kembali menghantui Liga Malaysia (Liga M) selepas dikhabarkan lima pasukan utama Liga Super mengalami masalah tersebut meskipun perjalanan musim ini masih belum tertutup.
Ia belum lagi mengambil kira pasukan-pasukan Liga M3 yang berstatus amatur tetapi turut mengalami nasib sama seperti Liga Super meskipun tidak membariskan pemain-pemain import.
Dikhabarkan, pasukan Liga Super yang mengalami tunggakan gaji ialah Kelantan FC, Kuala Lumpur City FC (KL City), Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Sabah FC dan Negeri Sembilan FC selepas gagal melunaskan pembayaran terhadap pemain masing-masing.
Situasi itu dilihat perkara yang sangat negatif buat 'scene' bola sepak Malaysia tatkala skuad kebangsaan sedang melonjakkan semula nama negara di persada antarabangsa.
Mungkin, sesetengah 'orang lama' dalam bola sepak menganggap tunggakan gaji adalah isu biasa dalam suasana Liga M tapi secara tidak langsung ia mampu memberi kesan negatif terhadap pemain.
Bekas pemain warisan Australia-Malaysia, Shazalee Ramlee kini sedang menjalani hidup sebagai pengurus sebuah syarikat perlombongan selepas meninggalkan bola sepak demi kelangsungan hidup di negara kelahirannya.
"Saya kembali ke Perth, Australia di mana saya dah 'settled down' dengan isteri. Selepas bola sepak saya mula menceburi karier dalam bidang korporat di sini (Australia).
"Berkenaan bola sepak, saya menjadi jurulatih dan berkerja rapat dengan pemain-pemain muda menerusi latihan personal.
"Selain itu, saya juga bermain futsal dalam Western Australian League, saya merasai seronok dengan pengalaman berbeza," katanya kepada Majoriti.
Shazalee (kiri) ketika beraksi untuk Sarawak United.
Shazalee mengakui insiden detik hitam bersama Sarawak United pada 2018 membuatkan dia trauma untuk bermain bola sepak sekali gus memilih untuk bersara awal meskipun umur belum lagi mencecah lebih 30 tahun.
"Kadang-kadang saya fikir dari semasa ke semasa, tetapi sejujurnya, saya tidak merinduinya. Saya tidak mempunyai keinginan untuk kembali dan bermain.
"Terdapat banyak isu, seperti sedia maklum gaji tertunggak yang merupakan isu biasa dalam bola sepak Malaysia.
"Ia merupakan sesuatu yang saya alami sepanjang berada di sana (Malaysia)
"Tahun terakhir saya di Malaysia pada 2018, saya memilih untuk menamatkan kontrak sya lebih awal dengan Sarawak United dan meminta penamatan bersama awal.
"Ia untuk menjamin bahawa sebahagian daripada gaji saya dibayar dan mungkin satu-satunya cara boleh mendapatkan gaji dengan cara paling pantas," jelasnya.
Shazalee turut pernah menyertai Kuantan FA.
Bercakap mengenai perkembangan semasa Liga Malaysia, Shazalee menyatakan banyak perubahan sudah berlaku dan berkongsi pasukan manakah mungkin dia memilih jika kembali menyarung but.
"Ada banyak potensi dalam Liga Malaysia dan itu sudah ada sekian lama dengan pemain-pemain yang baik.
"Saya percaya, lebih baik dengan pemain yang ada di Australia, tetapi perlu ada pasukan seperti yang berjaya dalam dan luar padang.
"Percaya atau tidak jika dilihat situasi semasa JDT akan terus mendominasi liga untuk tahun-tahun mendatang.
"Saya lebih berminat untuk kembali kepada pasukan yang boleh dikatakan sudah berjaya dan menepati standard bukan hanya di Malaysia tetapi dalam Asia juga," luahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram