[VIDEO] Pernah capai musim terbaik Penang FC, fans mahu pengurusan 'pancing' jurulatih 2014


  • Podium
  • Rabu, 08 Nov 2023

Antara aksi pemain-pemain Penang FA dalam Liga Perdana pada 2014.

PENANG FC merehatkan ketua jurulatih, Chong Yee Fatt, dan penolong jurulatih, Manzoor Azwira Abdul Wahid, sehingga penghujung musim ini, demikian diumumkan kelab itu dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurut kenyataan berkenaan, keputusan itu dibuat susulan kegagalan skuad Harimau Kumbang melayakkan diri ke final Piala Cabaran MFL dan prestasi tidak menentu dalam Liga Super.

Dengan keputusan itu, Akmal Rizal Ahmad Rakhli akan bertindak sebagai ketua jurulatih sementara bagi baki tiga perlawanan Liga Super musim ini.

Keputusan merehatkan Yee Fatt dan Manzoor Azwira itu dilihat satu tindakan pantas dibuat oleh pihak pengurusan dalam memberikan ruang untuk mereka mencari pengganti sebelum bermulanya musim baharu pada April tahun depan.

K.Devan

K.Devan musim ini mengendalikan Negeri Sembilan. MFL

Menelusuri media sosial, rata-rata penyokong mahukan pengendali Negeri Sembilan FC, K.Devan mengemudi Harimau Kumbang musim depan sekali gus menggamit imbauan pada 2014.

Menurut seorang penyokong, Fikri Hafiz dalam Group Komuniti Penyokong Penang FC, memilih K. Devan kerana prestasi lampaunya pada 2014 sekali gus mendapat sambutan hangat kalangan pemain ke-12 Harimau Kumbang yang sentiasa memenuhi stadium.

"Penang FA 2014, ketua jurulatih, K.Devan.

"Baru naik Liga Perdana, sebab 'coach' Merzagua Abderrazak tak boleh jadi ketua jurulatih kerana tiada lesen yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Prestasi musim itu agak 'hype' dan penyokong sentiasa penuhkan stadium selepas sekian lama dahagakan aksi Penang di peringkat tertinggi," katanya.

Tambahnya lagi, musim ini Penang hampir dinaikkan pangkat ke Liga Super namun terpaksa berpuas hati di tempat ketiga Liga Perdana 2014.

"Pemain tumpuan musim itu, Yong Kuong Yong, Muhammad Rafiuddin Roddin, Arwah Mohd Azizan Baba, Hilton Moreira, Titi Buengo dan Lee Gil Hoon.

"Musim itu juga kita nyaris ke Liga Super tetapi terpaksa berpuas hati di tangga ketiga di bawah PDRM FC dan Felda United.

"Jadi kalau K. Devan kembali sebagai 'headcoach' anda berpuas hati tidak? Atau ada cadangan lain, mungkin Zainal Abidin Hassan," jelasnya.

Mungkin ini masa terbaik untuk pihak pengurusan memancing kembali K. Devan ke skuad Harimau Kumbang susulan khabar angin menyatakan beliau akan meninggalkan Negeri Sembilan hujung musim ini.

Sebagai rekod, Penang akan bertemu Sri Pahang FC pada 26 November ini sebelum bertemu Terengganu FC pada 3 Disember depan dan akan menamatkan musim dengan bertandang ke laman Johor Darul Takzim (JDT) pada 17 Disember depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram