Idea 'bijak' Zamsaham jimatkan kantung kewangan perlu dipandang serius


  • Podium
  • Khamis, 09 Nov 2023

Zamsaham bercadang untuk berkolaborasi dengan kelab amatur itu sebagai langkah bijak untuk mengelakkan masalah kewangan.

BELUM lagi selesai dengan isu tunggakan gaji, kelab-kelab Liga Super pastinya pening kepala apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mewajibkan pasukan bertanding perlu ada skuad Piala Presiden dan Piala Belia.

Keputusan berkenaan diputuskan FAM dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif badan induk itu, yang turut menjadi syarat pasukan mendapatkan lesen untuk bersaing dalam Liga Super.

Mungkin bagi pasukan seperti Johor Darul Takzim (JDT), Selangor FC dan Terengganu FC tiada masalah kerana tidak terpalit dengan isu tunggakan gaji.

Namun pasukan seperti Kelantan FC, Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kuala Lumpur City FC (KL City) mungkin membuatkan mereka berfikir dua kali untuk menyertai Liga Super musim depan.

Tidak mendiamkan diri, pemilik Kelantan FC, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham menyambut baik cadangan FAM itu dengan berkolaborasi dengan kelab-kelab bola sepak di Kelantan untuk mengenal pasti pemain berbakat untuk diserapkan dalam skuad Piala Presiden dan Piala Belia.

"Banyak pasukan bola sepak belia dan remaja di Kelantan. Kita boleh bekerjasama dengan mereka. Bentuk pasukan terbaik, tiada masalah itu boleh diatur," ujarnya kepada Sinar Harian.

SSTMI

Antara aksi sukan sekolah negeri dalam Liga IPT.

Selain daripada cadangan Zamsaham untuk berkolaborasi dengan kelab amatur itu sebagai langkah bijak untuk mengelakkan masalah kewangan, Majoriti senaraikan dua lagi idea bagi pasukan-pasukan Liga M untuk menyediakan skuad Piala Presiden dan Belia tanpa mengeluarkan dana yang besar:

1. Kolaborasi dengan sekolah sukan negeri

Ini antara paling cepat untuk pasukan bertanding mencari pemain muda berkualiti apabila memberikan slot skuad Piala Presiden dan Belia kepada sekolah sukan negeri.

Dengan ini, ia secara tidak langsung dapat menjimatkan masa untuk pihak pengurusan mencari pemain-pemain amatur untuk membarisi dua skuad itu.

Bukan sahaja menjimatkan masa, ia juga membuka peluang buat pemain-pemain muda itu platform baharu lebih kompetitif selain mengharapkan kejohanan tahunan dalam dan luar negara.

FA Selangor

FA Selangor antara persatuan paling progresif ketika ini.

2. Kolaborasi dengan persatuan negeri (FA)

Mungkin cara ini dilihat seperti melepaskan tanggungjawab ke pihak lain, namun ia secara tidak langsung dapat menjimatkan kantung kewangan pasukan.

Bukan sahaja menjimatkan kantung kewangan pasukan, ia juga memberikan tugas buat persatuan negeri (FA) untuk mencungkil bakat-bakat baharu tempatan.

FA juga lebih mahir selok-belok dalam Liga Malaysia selepas mereka sebelum ini sudah lama bertapak dalam industri bola sepak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram