[VIDEO] 'Value sama macam Luka Milunovic', fans Perak kecewa tak dapat sambar 'budak nakal'


  • Podium
  • Rabu, 08 Nov 2023

Barisan pemain-pemain Perak FC untuk tahun 2023. — Facebook/Perak FC

PERAK FC dalam landasan terbaik untuk kembali sebagai salah satu pasukan gergasi Liga Malaysia musim depan selepas merekodkan keputusan cemerlang dalam perlawanan Piala Malaysia 2023 apabila mara ke pusingan separuh akhir meskipun tidak dibarisi pemain-pemain berstatus bintang.

Yusri Che Lah berjaya mengembalikan kepercayaan penyokong untuk memenuhi Stadium Perak, Ipoh selepas permulaan aksi hambar awal musim ini dengan perancangan yang tidak menjadi oleh Datuk Lim Teong Kim.

Pendekatan yang berbeza dilakukan oleh Teong Kim dan Yusri ternyata mengubah nasib Perak FC daripada skuad belasahan sehinggalah pesaing yang mampu mengejutkan pasukan gergasi seperti Sabah FC, Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Baru-baru ini, anak-anak buah Yusri pula tersenarai antara pasukan yang berjaya membolosi gawang gol Kelantan FC lebih daripada lima jaringan apabila mereka menewaskan The Red Warriors (TRW) dengan keputusan 8-0 pada 28 Oktober lalu.

Untuk baki saingan Liga Super, The Bos Gaurus akan bertemu tiga pasukan gergasi iaitu Selangor FC, Sabah FC dan Terengganu FC untuk memperbaiki kedudukan liga.

Yusri Che Lah menggantikan Teong Kim selepas dipecat oleh pihak pengurusan pada Jun lalu.

Dengan persembahan semasa serta status kewangan yang baik bersama XOX Berhad pastinya Yusri akan mendapat kepercayaan pihak pengurusan untuk menambah baik pasukan bagi saingan musim hadapan.

Yusri sempat membawa masuk Jesper Nyholm (Filipina) dan Luka Milunovic (Serbia) semasa jendela perpindahan kedua Liga M pada Ogos lalu.

Menelusuri media sosial, rata-rata penyokong mengimpikan bekas bintang JDT, Jorge Pereyra Diaz untuk menyertai Skuad Seladang musim depan selepas melihat nilai pasaran semasanya sama dengan Luka Milunovic.

Malangnya impian itu tidak kesampaian selepas penyerang kelahiran Argentina tersebut dikhabarkan sudah menandatangani kontrak dengan Mumbai City untuk kekal di India musim depan.

Menurut Anuar Manan dalam Perak All Star dia meluahkan kekecewaan kerana tidak dapat untuk melihat gandingan Luciano Guaycochea dan Diaz di Perak musim depan.

"Sayang betul, dia (Diaz) baru 'sign' kontrak baharu selama satu tahun pada September lepas, tengok nilai pasaran sama dengan Luka.

"Tak dapat nak ambil untuk main dengan Perak FC musim depan, kalau dapat mesti baik 'pair' dengan Luciano sebab sama negara.

"Bekas pemain JDT, dah hampir 10 tahun tapi masih 'perform' dan jadi 'top scorer' di setiap pasukan diwakili, ini baru betul mesin gol," katanya.

Bersama Mumbai City musim ini, pemain berusia 33 tahun itu telah menjaringkan 10 gol dan satu 'assist' dalam 15 perlawanan terakhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram