PERTENGKARAN mulut di antara dua bekas bintang bola sepak Diego Costa dan Gary Medel berjaya menarik perhatian penyokong dalam satu perlawanan Liga di Brazil pada Selasa.
Musim ini, Costa yang juga bekas pemain Chelsea kini mewakili Botafogo dan Medel pula beraksi untuk CR Vasco da Gama, sekali gus menjadi pesaing utama dalam Liga Brazil.
Dalam aksi itu, Botafogo gagal memecahkan badi kekalahan selepas mereka merekodkan tiga kekalahan dan seri satu dalam empat perlawanan terakhir apabila tumpas tipis 0-1.
Pada minit ke-60, Costa dilihat membantah keputusan pengadil selepas terdapat kekasaran yang dilakukan Medel ke atas dirinya meskipun pemain lawan itu telah dilayangkan kad kuning.
Namun, reaksi Medel terhadap bantahan Costa itu menarik perhatian kerana gelagatnya yang menutup hidungnya akibat tidak tahan dengan bau mulut bekas penyerang Chelsea tersebut.
Costa yang terus membantah keputusan pengadil membuatkan Medel terpaksa menjauhkan diri daripada kumpulan itu kerana gagal menahan bau mulut dan terus 'mengejek' pemain berusia 35 tahun itu.
Dalam perlawanan itu, CR Vasco da Gama berjaya mengutip tiga mata penuh untuk memperbaiki kedudukan liga menerusi jaringan Paulo Henrique pada minit ke-29 permainan.
Bagaimanapun kekalahan Botafogo itu tidak menggugat kedudukan pasukan itu sebagai pendahulu liga meskipun berkongsi mata dengan Palmeiras yang berada di tempat kedua. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram