[VIDEO] Liga Suparimau bertukar jadi gelanggang gaduh mak bapak


  • Podium
  • Isnin, 06 Nov 2023

Seorang lelaki juga difahamkan cederan susulan insiden pergaduhan di Liga Suparimau itu.

BAGI mencari bakat-bakat muda dalam industri bola sepak tanah air, pelbagai pertandingan dilakukan oleh pihak tertentu seperti Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi memastikan sukan nombor satu tanah air itu semakin berkembang.

Liga Suparimau antara pertandingan yang mencuri tumpuan dan dilihat menjadi medan terbaik untuk memastikan setiap Akademi Bola Sepak serta Kelab Bola Sepak Komuniti dan Rekreasi tanah air berada di landasan tepat dalam peringkat akar umbi.

Namun, lain pula jadinya apabila platform mencungkil bakat prospek negara bertukar menjadi medan pergaduhan pemain dan lebih teruk lagi ada orang dewasa seperti ibu bapa serta barisan kejurulatihan turut terlibat sama.

Dalam satu video tular di laman Facebook, suasana perlawanan Liga Suparimau yang berlangsung di New Camp, Petaling Jaya, Selangor menjadi kecoh apabila pemain dan penyokong dalam kalangan ibu bapa kedua-dua pasukan didakwa terlibat dalam pergaduhan.

Perkara itu dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook, Afiff Aizad Azman yang nyata kecewa dengan sikap sesetengah ibu bapa yang seakan-akan mendorong anak mereka dalam melakukan keganasan.

"Abang harap siapa ibu bapa, jurulatih dan pemain terlibat dilarang beraksi dalam mana-mana peringkat atau pertandingan akar umbi bolasepak yang dipertandingkan.

"Ibu bapa terutama sekali perlu lebih mengawal emosi dan memupuk ataupun menyokong semangat bermain kepada anak-anak dan bukan menjadi pendorong dalam melakukan kekasaran," tulisnya dalam laman Facebook pada Ahad.

Menerusi hantarannya itu, pengguna Facebook itu juga memuat naik gambar kecederaan belakang seorang individu dewasa dan difahamkan berpunca daripada pergaduhan di perlawanan berkenaan.

Walaupun begitu, individu berkenaan tidak berkongsi pasukan yang terlibat dalam kejadian berkenaan, sebaliknya menyerahkannya kepada pihak berkaitan untuk menyiasat serta menyelesaikan perkara tersebut.

Melihat reaksi pengguna Facebook di ruangan komen tersebut, ramai penyokong bola sepak tanah air juga kecewa dengan suasana memalukan itu dan berharap agar ibu bapa tidak terbawa emosi dalam sukan anak-anak.

"Anak-anak yang main, mak bapak yang lebih sudu dari kuah. Walaupun kalau pemain bergaduh dalam padang sekali pun, pengadil ada untuk mengawal. Tapi kalau mak bapak yang masuk padang, siapa yang nak kawalnya itu," kata pengguna, Zakaria Mohamed.

"Saja nak beritahu, hari itu anak saya main under lapan untuk tournament, pasukan anak saya tak hebat. Tapi tak bermakna ibu bapa boleh kutuk and ejek kanak-kanak kecil. Umur 8 tahun kot, ini bermakna walaupun tahun 2023, tapi pemikiran ibu bapa masih macam h***m. Sekian," luah pengguna Facebook lain, Adzriefaiz Adzlan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram