KETIADAAN tonggak pertahanan Safwan Mazlan dalam aksi ketiga Kumpulan G saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada Khamis nanti nyata satu situasi mencemaskan kem latihan pasukan Terengganu FC (TFC).
Pemain itu bakal terlepas aksi tersebut selepas dia dilayangkan dua kad kuning yang sekali gus terpaksa diketepikan jurulatih, Tomislav Steinbruckner dalam pertemuan menentang wakil kelab dari Filipina iaitu Stallion Laguna FC.
Namun, kehilangan pemain itu dijangka mampu diatasi skuad Penyu dengan beberapa individu berpotensi berpeluang untuk mengambil alih tugas untuk mengekang asakan lawan.
Tiga pemain yang kerap memanaskan bangku simpanan digesa oleh peminat skuad Peteh agar diturunkan dalam aksi tersebut.
1. Argzim Redzovic
Pertahanan tengah import kelahiran kelahiran Montenegro, Argzim Redzovic antara yang mendapat kepercayaan peminat untuk diturunkan dalam aksi piala berprestij itu.
Sudah hampir enam tahun beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), antara faktor yang mendorong pilihan pemain itu selaku tonggak pertahanan yang mampu membantu skuad TFC dalam kempen AFC kali ini.
Meskipun sekadar mencatatkan lapan penampilan dalam saingan Liga Super musim ini, pengalaman serta kelebihan fizikal yang ada padanya merupakan tumpuan peminat.
Untuk rekod, pemain yang menamatkan zaman bujangnya dengan gadis kelahiran Cameron Highland, Pahang, Nurraifana Azman mula beraksi dalam Liga M dengan menyarung jersi PDRM selama dua musim bermula 2018 sebelum berhijrah ke Terengganu FC II (TFC II) pada 2020 dan kini bersama skuad senior sejak musim lalu.
2. Sardor Kulmatov
Import tengah berusia 29 tahun ini nyata satu nama yang tidak asing dalam kancah bola sepak Terengganu apabila memiliki sebelas penampilan dalam aksi Liga Super musim ini.
Namun, bagi saingan Piala Malaysia, dia kurang mendapat tempat apabila hanya diturunkan sebanyak dua kali meskipun cemerlang di posisi pertahanan tengah.
Boleh juga diturunkan selaku pemain tengah bertahan, kawalan bola kemas serta hantaran tepat dimiliki antara senjata yang mampu diturunkan Tomi dalam pertemuan AFC kelak.
3. Ubaidullah Shamsul
Seorang lagi pemain di posisi pertahanan tengah, Ubaidullah Shamsul berusia 19 tahun semakin meniti di bibir peminat dengan kelincahannya di atas padang amat dinanti-nantikan ramai.
Meskipun kurang mendapat tempat di saingan Liga M, namun pengalamannya selaku kapten skuad bawah 23 tahun (B-23) negara pada Piala AFF Ogos lalu dijadikan sandaran penyokong TFC.
Rajin membantu jentera serangan dan kental dalam mengekang asakan lawan, antara kelebihan yang perlu dititikberatkan oleh jurulatih Tomi dalam aksi AFC nanti.
Sekiranya dia diturunkan, ia mampu menjadi pengalaman berharga buat ubi muda pasukan Terengganu itu dengan pendedahan di peringkat tertinggi diyakini mampu memperbaiki mutu permainannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram