[VIDEO] Remaja lelaki sanggup menyamar jadi patung 'mannequin', rembat barang, duit kat premis pakaian


  • Benua
  • Ahad, 22 Okt 2023

Tangkap layar seorang lelaki menyamar sebagai patung baju untuk melakukan kegiatan mencuri di sebuah premis pakaian dekat Warsaw, Poland pada Jumaat.

PERBUATAN licik seorang pencuri lelaki yang menyamar sebagai patung baju di sebuah premis pakaian memakan diri apabila dia ditahan pengawal keselamatan dalam satu insiden yang berlaku di Warsaw, Poland pada Jumaat.

Ketika kejadian, suspek berusia 22 tahun itu dilihat cuba memperdayakan orang ramai apabila menyamar sebagai patung untuk mencuri barangan dari kedai berkenaan.

Namun, kegiatan itu berjaya disedari seorang pekerja di kedai terbabit yang kemudiannya melaporkannya kepada pengawal bertugas.

Situasi itu dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dan hangat diperkatakan di laman media.

Dalam pada itu, suspek turut didakwa melakukan dua lagi jenayah berbeza dengan taktik yang hampir serupa.

Kes pertama difahamkan berlaku ketika dia didakwa sengaja makan dengan perlahan di sebuah restoran dan menunggu sehingga ke lewat malam untuk menjalankan kegiatan mencuri.

Ketika restoran itu hampir ditutup, dia segera masuk ke kedai pakaian dan menukar identiti dan baju yang berbeza untuk mengelirukan kru di restoran terbabit.

Sementara itu, dalam kes berasingan, jurucakap polis, Robert Szumiata menjelaskan, lelaki tersebut telah melarikan beberapa mesin juruwang dan barangan berharga lain dari sebuah pasar raya ketika premis berkenaan hampir ditutup.

Namun, identiti suspek terbongkar menerusi kamera CCTV dan dia dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun atas kesalahan memecah masuk premis pasar raya dan mencuri. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram