[VIDEO] ‘Ingatkan saya jika punya hutang’, pesanan terakhir mangsa maut dilanggar remaja perempuan 14 tahun di Kuala Kedah


  • 112
  • Isnin, 23 Okt 2023

Kemalangan membabitkan Nur Syafiqah yang maut dirempuh pemandu remaja perempuan berusia 14 tahun di Kuala Kedah, Alor Setar, Kedah manakala kakaknya cedera pada Ahad malam. — Ihsan PDRM

'INGATKAN saya jika saya punya hutang'. Itu antara perkongsian terakhir seorang penunggang wanita yang terkorban akibat dirempuh pemandu remaja perempuan berusia 14 tahun di Jalan Kuala Kedah, Alor Setar, Kedah pada Ahad malam.

Mangsa yang maut, Nur Syafiqah Abdullah, 32, dikatakan membuat hantaran itu di Facebook beberapa jam sebelum nahas terbabit. Kakaknya, Nooraliza, 43, juga cedera di pinggang, dada dan kaki kiri akibat kejadian itu.

Dalam kejadian di Jalan Kuala Kedah berhampiran sebuah stesen minyak pukul 7.05 malam, Proton Satria yang dipandu remaja terbabit dikatakan hilang kawalan dipercayai terlelap sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal Honda Wave.

Difahamkan, dua beradik itu merupakan peniaga yang beralamat di Kampung Ulu, Kuala Kedah.

pesann

Perkongsian di laman Facebook yang dimuat naik mangsa, Nur Syafiqah Abdullah beberapa jam sebelum kemalangan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Syed Basri Syed Ali dilaporkan berkata, mangsa yang menunggang bersama kakaknya itu dirempuh kenderaan terbabit yang datang dari arah berlawanan di lokasi kejadian.

"Pemandu remaja itu hanya luka di hidung dan pemeriksaan mendapati dia tidak mempunyai lesen selain tidak bersekolah.

"Kereta itu pula dipercayai milik rakan ibu remaja itu dan saman dikeluarkan terhadap pemilik kenderaan kerana membenarkan remaja bawah umur memandu," katanya.

Berikutan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala kakaknya, Nooraliza, 43, cedera di badan.

Syed Basri berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk tindakan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram