SEKUMPULAN lelaki berpelakuan tak ubah seperti samseng apabila didakwa mengganggu tugas anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Ijok, Kuala Selangor, Selangor pada Sabtu.
Perbuatan itu difahamkan bertujuan untuk menggagalkan tindakan JPJ yang menahan dua buah lori membawa lebih muatan di lokasi berkenaan.
JPJ dalam kenyataan Facebook pada Isnin berkata, kenderaan berat itu memiliki 25 kes kesalahan aktif yang belum selesai dan dikesan membawa muatan masing-masing melebihi 80 dan 108 peratus.
"Lori berkenaan yang disyaki membawa muatan melebihi 80 peratus juga didapati dipandu individu warga asing selain mempunyai kesalahan aktif belum selesai," katanya.
Malah, JPJ turut membuat satu laporan polis ekoran gangguan samseng lori yang menghalang dan cubaan menggagalkan tugas anggota penguatkuasa.
Dalam pada itu, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan dilaporkan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 6 petang selepas lori terbabit ditahan oleh anggotanya menerusi operasi Op Patuh Khas.
Menurutnya, semasa pemeriksaan dijalankan, seramai 20 hingga 30 lelaki tempatan datang membuat gangguan dengan menghalang dan cuba menggagalkan tindakan penahanan lori terbabit.
Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat JPJ di Balai Polis Kuala Selangor untuk tindakan lanjut, manakala lori terbabit telah disita. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram