Tiada murid terkecuali, KPM komited pastikan semua golongan pelajar terima akses pendidikan — Fadhlina Sidek


  • Primer
  • Ahad, 15 Okt 2023

Fadhlina melawat Sekolah Integriti di Puncak Alam.

KEMENTERIAN Pendidikan komited menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada semua pelajar di seluruh negara termasuk buat mereka yang ditempatkan di pusat pemulihan.

Demikian merupakan antara komitmen yang diberikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika merasmikan majlis penutup Program Hijrah Kasih 2023 di Pusat Koreksional Puncak Alam, Selangor pada 11 Oktober lepas.

Sekolah Integriti yang ditempatkan dalam pusat pemulihan di seluruh negara antara lain bertujuan memastikan tiada golongan pelajar yang terlepas daripada pembelajaran.

Katanya, integriti merupakan elemen penting dalam penyediaan pendidikan kemanusiaan bagi memupuk belas kasihan dan rasa hormat terhadap sesama masyarakat.

“Satu komponen besar pendidikan kemanusiaan ialah kebolehcapaian. Maknanya walau di mana pun anak-anak kita berada, mereka tetap boleh mendapatkan pendidikan.

“Walaupun berada di pusat pemulihan, mereka akan diberikan akses kepada pendidikan di Sekolah Integriti,” katanya, sambil menambah bahawa perancangan sedang dibuat untuk membawa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) ke pusat pemulihan.

Menurut Fadhlina, cadangan itu akan dibentangkan kepada Kabinet untuk diluluskan dalam masa terdekat.

“TVET adalah antara keutamaan negara. Golongan belia di pusat pemulihan juga harus mendapat pendedahan dan akses kepada TVET jika kita ingin melahirkan pekerja mahir yang mempunyai kepakaran untuk memenuhi keperluan negara.

"Bagi memastikan pelajar Sekolah Integriti tidak berasa tersisih, sesi kaunseling juga akan dijalankan di setiap pusat koreksional,” katanya.

Sebagai bekas peguam yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang guaman, Fadhlina berkata, dia sering melawat penjara dan melihat sendiri keperluan untuk pembaharuan yang wajar dilaksanakan.

“Isu reformasi penjara dibangkitkan di Parlimen baru-baru ini dan ia menunjukkan komitmen Kerajaan Perpaduan terhadap hal berkenaan yang memerlukan penambahbaikan secara signifikan.

“Ini termasuklah dalam bidang pendidikan di penjara dan pusat tahanan,” katanya.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, kementerian kini sedang dalam usaha untuk membawa lebih ramai guru bagi menangani isu kekurangan tenaga pengajar di Sekolah Integriti.

“Isu kekurangan guru ini belum kritikal dan sesi temu duga sedang dijalankan untuk mengambil guru baharu dengan usaha untuk mendidik golongan banduan dilihat akan membuahkan hasil,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Fadhlina berkata, pencapaian keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 bagi pelajar banduan adalah luar biasa dengan setiap calon memperoleh markah 100 peratus lulus.

Ia membabitkan seramai 86 pelajar Sekolah Integriti yang menduduki SPM 2022 di semua 11 buah institusi penjara itu di seluruh negara. Ini menyaksikan peningkatan sebanyak 0.44 peratus daripada keputusan SPM 2021.

Sementara itu, Fadhlina berharap agar pelajar Sekolah Integriti juga akan terus mencapai prestasi cemerlang dalam peperiksaan mereka.

“Ia menunjukkan pelajar ini mempunyai potensi yang besar dan saya amat berbangga dengan mereka,” tambahnya.

Salah seorang pelajar banduan yang dikenali sebagai Ahmad, 18, berkongsi pengalamannya sepanjang melanjutkan pengajian di dalam tahanan.

"Apabila masuk ke sini, saya berasa trauma tetapi saya tetap fokus kepada pelajaran dan cuba untuk memendam perasaan negatif itu. Saya akan menduduki SPM pada Januari 2024.

"Sebelum ini ramai pelajar banduan di sini tetapi ada yang telah dibebaskan jadi kini hanya tiga daripada kami yang akan menduduki peperiksaan bersama-sama.

"Sejarah dan Bahasa Melayu adalah mata pelajaran kegemaran saya dan guru-guru telah membantu kami membuat persediaan.

"Saya berasakan bahawa belajar di sini kurang tekanan berbanding di luar sana dan guru boleh memberi bimbingan secara one-on-one yang sekali gus memudahkan kami untuk belajar," ujarnya sambil menambah bahawa dia sebelum ini merupakan seorang yang sangat sosial.

"Saya selalu keluar lewat. Saya seorang yang suka main-main, 'Mat Rempit' dan tidak minat untuk belajar.

"Dari satu segi, berada di sini membantu saya untuk lebih fokus kepada pelajaran dan apabila dibebaskan nanti, saya sangat berharap untuk mendapat pekerjaan atau melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi," katanya.

kpm integriti

Salah seorang pelajar di Sekolah Integriti berkongsi pengalamannya.

Sementara itu, seorang pelajar dikenali sebagai Abhi, 22, berkata, meneruskan pengajian di Sekolah Integriti memberi peluang kepadanya untuk memberikan tumpuan dan fokus lebih baik terhadap pelajaran.

“Berada di Sekolah Integriti adalah bagus kerana saya boleh menumpukan perhatian dengan lebih baik.

"Kami diberikan perhatian lebih oleh guru-guru di sini yang turut memberikan kelas tambahan selepas tamat persekolahan. Malah, di hujung minggu, kami ternanti-nantikan hari Isnin kerana tidak sabar untuk pergi ke sekolah.

“Kami berlainan dengan pelajar biasa yang kebiasaannya tidak sabar untuk bercuti di hujung minggu," katanya.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai program Hijrah Kasih 2023, Fadhlina berkata, program berkenaan adalah untuk pelajar Islam tetapi terdapat program pembinaan sahsiah dan pemupukan nilai yang sama dijalankan untuk golongan belia daripada agama lain.

Katanya, pihak kementerian menekankan budi pekerti manusia melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti.

Kesemua program KPM adalah bertujuan untuk pembangunan sahsiah dan pengukuhan jati diri pelajar, termasuk Program Hijrah Kasih 2023.

Sementara itu Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan & Koreksional), Datuk Abdul Aziz Abdul Razak, dalam ucapannya, berkata, peranan guru-guru di penjara dan fasiliti pemulihan di negara ini sudah sejak beberapa dekad lalu.

“Pada 1972, guru-guru agama di bawah Jabatan Pendidikan ketika itu ditempatkan di Jabatan Penjara.

“Setelah melihat keperluan guru amat diperlukan, Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney telah ditubuhkan pada 2008,” tambahnya.

Abdul Aziz menjelaskan, beliau sangat kagum dengan komitmen persaudaraan pendidikan terhadap falsafah pendidikan negara.

“Terdapat penekanan terhadap pembangunan dan pembentukan pelajar beradab yang berakhlak mulia dan berintegriti, di samping menjunjung maruah insan, bagi melahirkan anak yang soleh dan cerdas,” katanya.

Ibu bapa, tambahnya, memainkan peranan yang besar dalam membimbing dan menyokong golongan belia ini agar mereka kembali ke landasan yang betul dan menjadi individu yang berguna.

Pada masa sama, Abdul Aziz mengingatkan banduan bahawa proses pemulihan memerlukan disiplin.

“Saya yakin dengan usaha berterusan dan kerjasama pelbagai pihak, anak-anak yang pernah melakukan kesilapan boleh berubah.

“Maafkan anak-anak muda ini supaya mereka dapat membetulkan kesilapan lalu mereka,” katanya sambil menambah bahawa beliau berharap apabila tiba masanya untuk mereka disepadukan semula dalam masyarakat, mereka tidak akan diketepikan.

“Beri peluang kepada mereka untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa mereka mampu berubah dan juga boleh bekerjasama menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Dalam mesej kepada banduan di Sekolah Integriti, Fadhlina berkata, “Tidak mengapa untuk melakukan kesilapan namun setiap kali melakukannya, anda perlu bangkit semula. Kepada ibu bapa, mereka amat memerlukan bantuan anda."

Selain Sekolah Integriti, Fadhlina berkata, KPM mempunyai pelbagai jenis sekolah yang dibina khusus untuk memastikan akses kepada pendidikan untuk semua golongan murid.

Ini termasuklah Sekolah di Hospital dan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih.

Terdapat juga sekolah yang menggunakan model khas seperti Sekolah Model Khas Komprehensif 9 untuk kanak-kanak orang asli yang kurang mendapat akses terhadap pendidikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram