
BARU-BARU ini, tular di media sosial mengatakan padang latihan Kelantan FC di Pejabat Pertanian Kelantan, Kota Bharu diletakkan penghalang untuk menutup laluan keluar dan masuk.
Situasi itu menyebabkan rata-rata penyokong skuad The Red Warriors (TRW) berasakan pihak pengurusan kelab tidak membuat pembayaran seperti mana dipersetujui.
Dakwaan berkenaan dikuatkan lagi dengan ketiadaan foto di padang latihan yang dikongsikan di laman media sosial kelab sejak beberapa bulan lalu.
Berdasarkan pemerhatian, kali terakhir perkara itu dikongsikan adalah pada 3 Oktober lalu dengan pemain serta pihak kejurulatihan kelab kelihatan di lokasi berkenaan.
Teka-teki tersebut seperti akhirnya terjawab berdasarkan satu hantaran daripada penyokong Kelantan FC, Po'Nique Sallehuddin yang pastinya mengundang kekecewaan dalam kalangan mereka yang lain.
Kali terakhir Kelantan FC berkongsi foto di padang latihan adalah pada 3 Oktober lalu. — Instagram/TRW Kelantan FC
Jadi, untuk mendapatkan kepastian, Majoriti bertindak menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan, Ahmad Muzakkir Hamid bagi menjawab tuduhan tersebut.
"Susah untuk saya berikan komen kerana saya masih tidak dapatkan info lagi. Tetapi, tidak mengapa kerana pemain masih boleh berlatih di lokasi lain.
"Setahu saya, pagi ini (Selasa), mereka semua turun berlatih di Pusat Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan. Tetapi, untuk yang pejabat pertanian saya belum dapat info kerana mereka tidak mengadu kepada saya," katanya kepada Majoriti.
Muzakkir sebelum ini dilantik pada Ogos lalu dengan kebolehannya dalam bidang pengurusan menarik perhatian pemilik kelab, Norizam Tukiman.
Walaupun tiada perubahan ketara direncanakan, sikap keterbukannya dalam menjawab persoalan peminat di media sosial sedikit sebanyak menaikkan reputasinya.
Laluan ke pusat latihan Kelantan FC ditutup seperti mana dikongsikan orang ramai. — Media sosial
Kini, dengan padang latihan utama Kelantan FC sudah ditutup, ia pasti mendesaknya untuk mengambil penyelesaian segera demi kebaikan pasukan.
Musim ini, skuad TRW berada dalam prestasi cukup memalukan apabila mereka menduduki tangga tercorot Liga Super dengan rekod pertahanan terburuk dalam sejarah Liga Super dipecahkan mereka selepas 22 perlawanan.
Dalam perkembangan baharu, Muzakkir menerusi hantaran di Facebook peribadinya mengatakan pihak pengurusan kelab sudah mengambil keputusan memindahkan pusat latihan bagi tujuan mengurangkan kos operasi.
"Assalamualaikum, mengenai padang latihan Kelantan FC, kita telah berpindah ke padang baharu yang mana kadar sewanya adalah lebih rendah," tulisnya.
Bagaimanapun, hantaran yang dibuat pada Selasa itu tidak menyatakan dengan khusus mengenai lokasi dipilih mereka untuk menjalankan kerja-kerja latihan buat pasukan.
Dalam masa sama, Majoriti juga dalam usaha menghubungi Pejabat Pertanian Negeri Kelantan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai sekatan dibuat itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram