"BAWA beg berjuta, beratus batu datang menolong, silap sikit percaturan, dihina dikutuk ibarat melepas anjing yang tersempit."
Itulah luahan hati Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan FC, Ahmad Muzakkir Hamid berkenaan situasi yang dihadapi pemilik The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham.
Isu hangat di antara penyokong Kelantan dan pihak pengurusan dilihat masih belum menemui jalan penyelesaian apabila laungan 'Zamout' masih berkumandang dalam media sosial.
Sebelum ini, penyokong TRW berang dengan prestasi semasa pasukan yang dilihat semakin merudum meskipun sudah menukar tiga ketua jurulatih dalam satu musim sama.
Malahan isu luar padang seperti tunggakan gaji dan kegagalan mendaftar pemain import semasa jendela perpindahan kedua Liga Super merupakan had limit kesabaran penyokong Kelantan terhadap pihak pengurusan TRW.
Posting yang dimuat naik oleh CEO Kelantan dalam Facebook pada Jumaat.
Lima perlawanan terakhir Kelantan, skuad kendalian Angel Alfredo Vera telah dibolosi 40 gol dan merupakan antara pasukan yang mencatatkan angka bolos tertinggi dalam Liga Super iaitu 87 jaringan.
Muzakkir dalam Facebook, meluahkan rasa simpatinya terhadap pemilik kelab selepas tidak dapat bantuan daripada orang ramai meskipun ada pasukan yang mempunyai tunggakan gaji sama seperti Kelantan.
"Pengetahuan saya dia satu-satunya pemilik yang memiliki 100 peratus (%) saham selain nombor satu itu.
"Dia satu-satunya yang tidak mendapat bantuan selain daripada geran MFL.
"Seharusnya dia dibela, yang dapat bantuan berjuta pun masih lagi gaji tertunggak inikan pula," katanya.
Muzakkir dilantik menjadi CEO Kelantan pada Ogos lalu.
Muzakkir merupakan graduan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang mempunyai kemahiran dan pengalaman luas dalam pembangunan sukan khususnya bola sepak.
Selain itu, dia juga antara watak penting penjualan 100 peratus saham Kelantan FC daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kepada Norizam Tukiman pada 3 September 2020.
Walaupun tidak menyatakan nama individu dimaksudkan dalam 'posting' tersebut, rata-rata penyokong tahu individu yang dimaksudkan ialah Zamsaham. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram