BARU-BARU ini, Kelantan FC dikhabarkan sudah kehilangan khidmat beberapa import mereka yang mengambil keputusan menamatkan kontrak dengan lebih awal.
Pemain tengah kelahiran Mesir, Allie Seesay merupakan antara yang awal berbuat demikian memandangkan namanya tidak didaftarkan untuk bermain dalam Liga Super.
Hal tersebut berpunca daripada kegagalan pihak pengurusan untuk melengkapkan dokuman sebelum penutupan jendela perpindahan kedua liga tempatan Januari lalu.
Situasi berkenaan terus diburukkan apabila pemain tengah, Leonardo Rolon turut mengambil keputusan meninggalkan skuad The Red Warriors (TRW) 15 Oktober lalu.
Lebih mendukacitakan lagi, tiada pengumuman rasmi dibuat pihak pengurusan kelab mengenai perkara itu dengan ia hanya dikhabarkan menerusi satu hantaran di InstaStory peribadinya.
Buschening hanya mampu mempamerkan kebolehannya di padang latihan. — Facebook/TRW Kelantan FC
Kini, seorang lagi import Kelantan FC dikhabarkan memilih untuk berbuat demikian setelah kecewa dengan masalah dihadapi kelab Pantai Timur itu.
Penyerang berdarah kacukan Jerman-Thailand, Dennis Buschening dilaporkan sudah berpisah dengan skuad TRW berdasarkan satu perkongsian daripada ejennya, Sherif Ahmed Mostafa atau lebih dikenali sebagai Shekoo.
"Masa untuk mengucapkan selamat tinggal kepada rakanku yang bersikap profesional dengan segala apa yang sudah berlaku.
"Anda sudah buat yang terbaik dan anda sudah bersedia dengan cabaran. Nikmati masa bersama keluarga dan semoga maju jaya. Semoga kita berjumpa lagi," tulis ejen itu menerusi InstaStory peribadinya.
Buschening sebelum ini ditandatangani setelah kontraknya bersama kelab kerdil Thailand, MH Nakhon Si City FC tamat beberapa bulan lalu.
Namun, penyerang berusia 32 tahun terbabit tidak pernah diturunkan akibat kegagalan kelab untuk mendaftarnya Januari lalu.
Shekoo mengumumkan pemergian Buschening melalui satu hantaran di Instastory peribadinya.
Sepanjang kariernya, Buschening pernah sempat beraksi dalam Liga Super bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sabah FC dan UiTM FC.
Meskipun pernah menunjukkan taringnya bersama skuad Sang Badak, pemain berkenaan gagal mengulangi prestasi itu akibat isu kecederaan yang dialaminya.
Bagaimanapun, sekiranya dia berhasrat untuk meneruskan karier dalam Liga Super, destinasi terbaik buatnya adalah untuk menyertai Perak FC musim depan.
Musim ini, skuad The Bos Gaurus (TBG) merupakan pasukan paling tumpul di hadapan pintu gol apabila hanya mampu menjaringkan 17 gol dalam 22 aksi Liga Super.
Walaupun memiliki isu kecederaan, kebolehan pasukan tersebut untuk mengembalikan kebolehan pemain menjadikannya pilihan terbaik buat Buschening.
Namun, dengan usianya sudah semakin lanjut, pihak pengurusan kelab sudah tentu akan mencari pilihan lebih baik dalam usaha mereka beraksi dengan lebih baik musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram