MASALAH tunggakan gaji yang dilihat seperti tidak berkesudahan sekali lagi menimpa Kelantan FC selepas pemain import terakhir, Leonardo Rolon sah meninggalkan pasukan itu.
Bekas pemain Piala Dunia Bawah 20 Argentina itu sah meninggalkan kelab tersebut selepas memuat naik satu hantaran di laman Instagram miliknya.
Tangkap layar hantaran tersebut. — Instagram/leorolon8
Dalam perkongsian tersebut, Leonardo Rolon atau gemar dengan panggilan Rolon itu memberi ucapan terima kasih kepada Kelantan dan penyokong pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur itu.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan dan semua peminat kerana sentiasa menyokong. Terima kasih Kelantan dan penyokong," katanya.
Kehilangan import kelahiran Argentina itu secara tidak langsung dijangka akan merencatkan lagi corak permainan Kelantan FC selepas salah seorang pemain import, Natanael Siringoringo sah meninggalkan pasukan itu.
Untuk rekod, Rolon mencetak empat gol daripada 11 perlawanan Liga Super, selain pernah membawa pasukan Kelantan FC meraih kemenangan ke atas Negeri Sembilan FC dengan mencetak dua gol.
Meskipun belum mengetahui pasukan yang bakal dituju oleh pemain berusia 28 tahun itu, meninjau ruangan komen, ramai penyokong tanah air berasakan Rolon akan berhijrah ke Sri Pahang FC memandangkan kini berstatus sebagai ejen bebas.
"Pahang boleh adjust, sambar ni pemain, Pahang is Argentina," kata Aidil Hafizie.
"Rasanya Pahang sesuai ambil ni nanti, kita nantikan," kata Khairul Azmi.
"Pahang the best. Pihak pengurusan Pahang mohon sambar Rolon," kata Fadzli Shah.
Difahamkan, Kelantan kini tidak mempunyai pemain import selepas gagal mendaftar pemain baharu seperti Alie Sesay, Aliakbar Ahmadi, Ahmed Magdy dan Dennis Buschening kerana sekatan perpindahan yang dibuat oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram