Awas Sabah! Selangor FC antara 3 kelab Liga Malaysia pernah tumpas di Vietnam


  • Podium
  • Selasa, 24 Okt 2023

Sebahagian aksi ketika sesi latihan barisan Sang Badak dalam persiapan menjelang Piala AFC 2023 berdepan Hai Phong pada Rabu. — Facebook/Sabahfc

PASUKAN Sabah FC memulakan kempen Piala AFC dengan langkah kanan selepas menewaskan wakil Singapura, Hougang United 3-1 dan wakil Indonesia, PSM Makassar 5-0 pada Kumpulan H.

Meskipun meraih dua kemenangan dalam Kumpulan H, The Rhinos bagaimanapun perlu berjaga-jaga dengan taktikal yang bakal dipersembahkan oleh wakil kelab dari Vietnam iaitu Hai Phong.

Hal ini kerana, Hai Phong merupakan naib juara saingan domestik Vietnam musim lalu.

Dalam pada itu, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee perlu berwaspada dengan taktikal wakil kelab Vietnam dalam aksi ketiga Kumpulan H yang bakal berlangsung pada 25 Oktober nanti.

WhatsApp Image 2023-10-23 at 22.41.21

Sebahagian aksi ketika sesi latihan pasukan Sabah FC dalam persediaan Piala AFC. — Facebook/Sabah FC

Berikut Majoriti menyenaraikan tiga kelab Liga M yang pernah tewas di bumi Vietnam.

1. Selangor FC

Gergasi Merah juga antara pasukan yang pernah menempah nama dalam saingan Piala AFC musim 2014.

Pasukan yang menduduki tangga kedua Liga Super 2023 itu pernah mencipta kemenangan menewaskan Ha Noi T&T dengan keputusan 3-1 ketika beraksi di Stadium Shah Alam, Selangor pada aksi pertama.

Bagaimanapun, untuk aksi kedua, Selangor tewas 0-1 di laman lawan.

Dalam aksi Piala AFC itu, Selangor berdepan cabaran apabila bertemu Ha Noi T&T, Arema Cronus dan Maziya.

Untuk rekod, dalam enam perlawanan dalam Kumpulan F, Selangor mencatatkan dua kemenangan, dua kekalahan dan dua kali seri dengan meraih lapan mata.

2. Kelantan FC

Pasukan yang pernah mencipta treble pada musim 2012 turut melakar sejarah apabila pernah beraksi di pentas Asia musim 2014.

Kelantan yang berada pada Kumpulan G beraksi bersama-sama wakil negara Vietnam, China Selatan dan Myanmar.

Kelantan yang juga dikenali sebagai The Red Warriors (TRW) itu juga pernah berdepan pasukan wakil Vietnam iaitu Vissai Ninh Binh.

Ketika berdepan wakil Vietnam itu, Kelantan terpaksa berputih mata apabila tewas 2-3 pada aksi di laman sendiri dan 0-4 ketika bermain di tempat lawan.

Untuk rekod, Kelantan hanya meraih tiga mata dalam perlawanan tersebut.

3. Felda United FC

Meskipun tidak beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) ketika ini, Felda United merupakan kelab yang pernah mewakili Malaysia ke pentas Asia.

Felda United FC yang juga dikenali dengan jolokan The Fighters itu pernah berdepan wakil kelab dari negara Filipina, Vietnam dan Singapura.

Ketika berdepan Vietnam, Felda terpaksa berputih mata apabila tewas dengan keputusan 1-4 di laman lawan dan 1-3 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang.

Sebagai rekod, Felda gagal meraih sebarang kemenangan selepas hanya menjadi lauk kepada pasukan lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram