MASIH menjadi teka-teki status Kelantan FC musim depan selepas pelbagai masalah yang terkait dengan pasukan yang sepenuhnya dimiliki oleh Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham.
Daripada masalah gaji sehinggalah gagal mendaftar pemain import, The Red Warriors (TRW) pada musim ini dilihat serba-serbi tidak kena walaupun mereka merupakan naib juara Liga Perdana pada tahun lalu.
Kelantan juga menjadi satu-satunya pasukan yang menukar tiga jurulatih dalam musim ini berikutan prestasi yang sangat buruk bermula dengan Choi Moon-sik, Frank Bernhardt dan terkini Angel Alfredo Vera.
Baru-baru ini TRW sah bakal beraksi tanpa pemain import selepas Natanael Siringoringo dan Leonardo Rolon sudah pun meninggalkan pasukan itu berikutan masalah dalaman yang berlaku.
Sebelum ini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menegaskan mana-mana pasukan yang akan beraksi dalam Liga Super perlu mendapatkan lesen kebangsaan daripada First Instance Body (FIB).
Moon-sik (kiri) menjadi mangsa pertama Kelantan apabila dipecat pada awal musim Liga Super.
Menerusi kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, pasukan Kelantan ada menghantar beberapa dokumen selepas tarikh penyerahan tamat dan keputusan lesen-lesen kebangsaan akan diumumkan pada 19 Oktober nanti.
"Perjumpaan FIB tak silap saya pada 18 dan 19 Oktober, kita akan panggil sidang media pada 19 hari bulan nanti untuk mengumumkan keputusan lesen-lesen kebangsaan.
"Kelantan FC ada juga beberapa dokumen yang mungkin dihantar lewat, selepas tarikh penyerahan dokumen tamat, tapi saya biarkan dalam jawatankuasa pada masa ini. Apabila bersidang nanti kita akan membuat keputusan.
"Mungkin terlalu awal untuk spekulasi dan kami harap semua pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia tahun ini fahami prosedur pelesenan, yang mana ia bukan perkara baharu.
"Tahun lepas pun kita dah ambil beberapa keputusan yang agak tegas mengenai lesen tahun ini, dan kami rasa perkara itu akan disambung ke tahun ini untuk memastikan liga kita tidak mengalami isu-isu gaji.
"Ia untuk memastikan kedudukan kewangan pasukan, pembayaran kepada agensi ataupun gaji, struktur pasukan, legal entiti pasukan untuk memastikan apa-apa yang perlu diserahkan dengan betul," katanya.
Kelantan mungkin jatuh ke Liga M3 musim depan selepas menduduki tangga tercorot selain berdepan masalah tunggakan gaji. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram