Bekas penyerang Sarawak maut diserang sakit jantung ketika memandu


  • Podium
  • Selasa, 24 Okt 2023

Eshun (merah) ketika beraksi bersama salah sebuah kelab di Ghana. — Agensi

BEKAS penyerang Sarawak FA, Robert Eshun disahkan meninggal dunia dekat London, England pada usia 49 tahun.

Menurut laporan pihak berkuasa, pemain berkenaan meninggal dunia akibat diserang penyakit sakit jantung ketika memandu ke tempat kerjanya.

Berita berkenaan dikongsikan beberapa agensi media Ghana dengan laman Facebook FA of Sarawak juga sempat memberi kata-kata penghormatan buatnya.

"Kami amat berdukacita dengan pemergian bekas pemain import Sarawak FA yang berasal dari Ghana Robert Eshun," tulisnya sambil menyertakan gambar mendiang.

WhatsApp Image 2023-10-24 at 12.34.43

Kehilangan Eshun diratapi penyokong bola sepak di Ghana dan Sarawak. — Agensi

Dia yang pernah beraksi bersama skuad Bujang Senang pada 2003 sering menampilkan aksi terbaik dengan karakternya di luar padang juga cukup disegani.

Eshun, yang turut dikenali dengan gelaran Ebo Electric sempat beraksi bersama beberapa kelab di Afrika, Eropah dan Asia.

Kariernya menemui kemuncaknya ketika dia bersama-sama pasukan kerdil di Ghana, Asante Kotoko meskipun dia ketika itu masih bergelar seorang pelajar sekolah.

Bagaimanapun, semasa bersama Sarawak FA, kebolehan Eshun gagal membawa suntikan berbeza apabila kelab terbabit hanya menamatkan saingan Liga Super di tangga ketujuh daripada lapan pasukan.

Menurut data, penyerang tersebut berjaya menjaringkan tujuh gol, termasuk tiga dalam saingan Piala Malaysia sepanjang tempoh semusim bersama pasukan berpangkalan di Borneo itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram