NAMA seperti Bergson Da Silva, Fernando Forestieri, Ayron del Valle dan Kpah Sherman antara penyerang import yang sering terlintas di fikiran penyokong bola sepak tanah air bila berbicara mengenai jumlah jaringan yang diledak untuk kelab masing-masing.
Selain empat nama gergasi itu, pemain Kuching City FC, Abu Kamara menjadi antara penyerang ‘underrated’ dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) walaupun sering menampilkan persembahan berkualiti pada setiap perlawanan.
Namun musim ini, nama penyerang kelahiran Liberia itu semakin melonjak sehingga ada yang mengaitkan Kamara akan meninggalkan pasukan The Cats pada tahun depan selepas timbul khabar angin mengatakan bahawa dia dalam radar sebuah kelab Utara tanah air.
Bekas pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Perdana 2022 itu meneruskan momentum dengan meledak 10 jaringan gol dan satu hantaran bantuan dalam 18 aksi dia diturunkan untuk perlawanan Liga Super setakat ini.
Baru-baru ini, pemain berusia berusia 26 tahun itu juga mencuri tumpuan apabila menjadi watak utama dalam memastikan Kuching City berhasil menyingkirkan Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk lolos ke pusingan separuh akhir MFL Challenge Cup.
Kamara menjadi ayam tambatan untuk Kuching City pada musim ini.
Kamara meledak satu jaringan pada aksi pertama suku akhir di Stadium Negeri, Sarawak dan jaringan kedua pula diperoleh ketika membantu pasukan Borneo tanah air itu dalam aksi timbal balik di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Susulan impak positif dipamerkannya di hadapan gawang gol bersama pasukan tersebut pasti tidak menghairankan jika Sang Kenari antara pasukan dari Utara yang beratur mendapatkan Kamara.
Kamara juga dilihat berpotensi menjadi pemain sandaran jika penyerang utama, Ifedayo Olusegun mengalami kecederaan atapun mungkin diturunkan bersama dengan bekas pemenang Kasut Emas Liga Super 2020 dan 2021 itu.
Penang FC pula memerlukan seorang penyerang import berkualiti untuk menggantikan Abdeen yang dibawa masuk pada Julai lalu masih tidak mencetak sebarang jaringan gol untuk Penang dan hanya tampil dalam lima perlawanan termasuk tiga aksi Liga Super.
Sementara Perak FC pula yang kini sudah cemerlang dalam saingan Piala Malaysia pasti memerlukan sentuhan penyudah yang lebih kemas dalam membantu mereka kakal bersaingan di saingan Liga Super musim depan. —Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram