
SEBELUM kemenangan pertama Harimau Malaya diperoleh dalam aksi pembukaan menentang India pada Jumaat, tidak dapat dinafikan timbul beberapa kritikan daripada penyokong bola sepak tanah air mengenai senarai 25 pemain.
Beberapa nama dalam senarai tersebut menerima tentangan daripada pengikut bola sepak tanah air, yang mana mereka beranggapan bahawa terdapat pemain dianggap kurang sesuai untuk dibawa ke persediaan Piala Asia itu.
Antara yang dipersoalkan ialah pemain sayap kelahiran Sarawak, Shamie Iszuan berikutan namanya bukanlah sebutan popular jika bercakap mengenai kualiti permainan ketika beraksi di peringkat kelab bagi saingan liga domestik.
Shamie mula menyinar ketika aksi Piala AFF 2022 yang lalu namun prestasinya bersama Sri Pahang FC dilihat gagal membantu jentera serangan pasukan dan sering menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong.
Oleh itu, keputusan Kim Pan-gon untuk meletakkannya dalam senarai 25 pemain sudah tentu menimbulkan persoalan dengan orang ramai berasakan terdapat beberapa pilihan lebih baik untuk menaikkan kebolehan barisan serangan Harimau Malaya.
Shamie ketika ditemui selepas aksi pembukaan Pestabola Merdeka menentang India.
Pemain berusia 28 tahun itu bagaimanapun enggan memikirkan mengenai komen dari orang ramai sebaliknya optimis akan terus memberi aksi 100 peratus untuk membalas kepercayaan Pan-gon.
“Saya percaya apa yang coach (Pan-gon) bagi. Setiap pemain ada tugas masing-masing, dia percaya setiap daripada kami. Dan saya bersyukur sebab dipanggil lagi sarung jersi kebangsaan.
“Saya tak pasti jika sebab aksi di Pahang saya dipanggil. Sebab di Pahang pun saya kurang minit bermain tapi sebelum ini saya pernah ikuti AFF. Mungkin ketika itu dia melihat potensi saya.
“Tapi saya tak kisah pun dengan komen cakap saya tak layak semua sebab saya tetap akan bagi 100 peratus untuk negara,” katanya kepada Majoriti selepas perlawanan sulung Pestabola Merdeka edisi ke-42 itu.
Berdasarkan statistik daripada laman Transfermrket, bekas pemain Sarawak United itu hanya tampil dalam lapan perlawanan Liga Super dan hanya sekali diturunkan sebagai kesebelasana utama skuad Tok Gajah.
Shamie berikrar akan memberi persembahan 100 peratus untuk skuad kebangsaan. — Facebook/FAM
Penyerang sayap kanan itu menyedari bahawa ramai pemain memasang impian untuk tersenarai dalam skuad ke Piala Asia dan mimpinya turut menjadi kenyataan jika menjadi pilihan pengendali Korea Selatan tersebut.
“Jika saya dipanggil untuk Asia, saya akan lebih kerja keras sebab bukan mudah nak wakili negara. Bahkan, untuk masuk ke pasukan ini pun bukan mudah,” tambahnya.
Dalam pada itu, Shamie yang diturunkan pada babak kedua perlawanan aksi menentang India itu turut menyatakan kegembiraannya atas kemenangan Harimau Malaya meskipun keadaan padang merencatkan sedikit permainan.
“Game hari ini (Jumaat) memang seronol sebab dah 10 tahun tak main Pestabola Merdeka. Penyokong pun ramai dan menang pula.
“Padang okay cuma boleh nampak rumput tercabut tapi overall padang masih okay. Mungkin ada sedikit merencatkan permainan,” jelasnya.
Momen ketika penjaga gol, Syihan Hazmi membaiki semula keadaan rumput. — Facebook/Bernama
Harimau Malaya sekali lagi membuktikan peningkatan kualiti permainan mereka apabila berjaya menewaskan pasukan berada di ranking ke-102 dunia, India 4-2 pada aksi pembukaan kejohanan Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Jumaat.
Lebih 46,000 penyokong yang turun ke gelanggang keramat itu dihidangkan dengan aksi cemerlang dan jaringan gol daripada para pemain walaupun diketahui padang berada dalam kondisi kurang memuaskan untuk perlawanan pertama itu.
Jaringan bek tengah, Dion Cools memeriahkan Bukit Jalil seawal minit ketujuh dan tiga gol lagi dicetak oleh Arif Aiman Hanapi (20’), Faisal Halim (42’) dan ditutup dengan sumbangan bek kiri berpengalaman, Corbin-Ong pada minit ke-61 permainan. —Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram