[VIDEO] Slot JDT tak jamin tempat pemain warisan di Harimau Malaya


  • Podium
  • Selasa, 17 Okt 2023

Gunter pernah mewakili kelab gergasi Switzerland, FC Zurich sebelum kembali ke Malaysia pada 2015. — Facebook/JDT

TIDAK boleh dinafikan usaha Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membawa masuk pemain-pemain kacukan seperti Darren Lok, Stuart Wilkin, La'Vere Corbin-Ong dan Daniel Ting ke dalam Liga Malaysia melalui JDT sangat membantu skuad kebangsaan ketika ini.

Kemasukan mereka memberi banyak pilihan buat Kim Pan-gon membariskan kesebelasan utama terbaik Harimau Malaya yang kini dalam misi untuk berda di dalam kelompok 100 terbaik dunia.

Namun tidak semua mampu mengikuti jejak langkah Corbin-Ong yang berjaya memacu skuad kebangsaan sehingga layak ke Piala Asia 2023 serta final Piala Raja Thai pada tahun lalu.

Tahun ini, Pan-gon bersama-sama anak-anak buahnya tidak lagi merekodkan sebarang kekalahan malah berjaya mengikat pasukan yang berada di ranking bawah 100 seperti China.

Majoriti senaraikan tiga pemain kacukan yang menyertai Liga Malaysia melalui slot JDT tetapi gagal mendapat tempat di negara ini.

1. Kevin Gunter (Switzerland-Malaysia)

Kevin Gunter, pemain muda berdarah kacukan Switzerland-Sarawak yang bermain untuk pasukan FC Wiedikon pernah mencuba nasib untuk menyertai pasukan Johor Darul Takzim (JDT) pada 2015.

Mendapat kerakyatan Switzerland mengikut bapanya walaupun ibunya berasal dari Sarawak namun tidak menghalang minatnya untuk kembali ke Malaysia.

Dilahirkan pada 19 September 1992, dia pernah beraksi untuk kelab Switzerland, FC Zurich dan SC Young Fellow Juventus sebelum menyertai FC Wiedikon.

Gagal memikat barisan kejurulatihan JDT, bagaimanapun, khidmatnya tetap diperlukan apabila menandatangani kontrak bersama Negeri Sembilan pada Ogos 2015 yang beraksi dalam Liga Perdana sebelum berhijrah ke UiTM FC pada 2016.

Kemudian pemain berusia 31 tahun itu menjalani sesi trial bersama Penang FC dan Sarawak FC pada 2017 namun gagal mendapat hati barisan kejurulatihan kedua-dua pasukan.

2. Ben King (England-Malaysia)

Harimau Selatan pernah memberi peluang kepada seorang pemain kacukan England-Melaka iaitu Ben King untuk menjalani ujian percubaan selama dua minggu ketika JDT dikendalikan oleh Bojan Hodak pada 2014.

Ben King yang ketika itu berusia 21 tahun pernah mencipta rekod antara pemain termuda yang mewakili kelab England, Crawley Town pada usia 16 tahun.

Tidak pernah menyertai mana-mana akademi bola sepak, pemain itu yang kini berusia 30 tahun menarik minat kelab seperti Merstham FC, Farnborough FC dan Sutton United FC sebelum dipinjamkan ke Tornbridge Angels FC pada 2014.

Namun begitu, Ben gagal memikat hati barisan kejurulatihan Bojan yang mana selepas itu dia menjalani ujian 'trial' bersama Sarawak FA tetapi keputusan masih tidak berpihak kepadanya.

Ia selepas rakan kepada Junior Eldstal itu gagal dalam ujian 'trial' yang dikendalikan oleh Robert Albert iaitu ketua jurulatih Sarawak pada 2015.

Ernest Wong

Wong kini berusia 32 tahun. Facebook/JDT

3. Ernest Wong (New Zealand-Malaysia)

Mempunyai ketinggian 1.83 meter, Ernest Wong dijangka menjadi pengganti Farizal Marlias sebagai posisi penjaga gol selepas mempunyai fizikal yang lebih baik daripada pemain senior itu.

Bermula daripada JDT II pada 2020, Wong gagal menjadi pilihan utama ketua jurulatih apabila Izham Tarmizi dan Haziq Nadzli lebih menjadi pilihan ketika itu.

Tidak mendapat peluang, Wong mencuba nasib dengan menyertai Kuala Lumpur City (KL City) pada 2021 namun apa yang peliknya skuad warga kota mempunyai lima penjaga gol dalam skuad utama iaitu Zamir Selamat, Khatul Anuar, Julian Bechler dan seorang lagi pemain import kacukan Filipina kelahiran Denmark iaitu Kevin Ray Mendoza.

Kecewa masih belum mendapat tempat sebagai penjaga gol utama, Wong kembali ke New Zealand untuk menyertai Manukau United FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram