KEMENANGAN 4-1 dicatatkan Johor Darul Takzim (JDT) ke atas Perak FC dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia sudah tentu memberi suntikan semangat buat mereka.
Kejayaan tersebut semestinya memberi gambaran buat skuad Harimau Selatan sudah melangkah sebelah kaki ke pentas akhir kejohanan untuk edisi keempat berturut-turut.
Bagaimanapun, sasaran juara Liga Super itu adalah untuk mempamerkan kebolehan mereka di peringkat lebih tinggi, iaitu dalam Liga Juara-juara AFC (ACL).
Selepas mengalami kekalahan dalam aksi pembukaan, wakil tunggal negara itu kembali bangkit apabila menewaskan kelab Thailand, BG Pathum United awal bulan lalu.
Kejayaan untuk membawa pulang tiga mata dari tempat lawan itu membolehkan JDT berada di tangga kedua Kumpulan I setelah mengharungi dua perlawanan.
Kali terakhir JDT bertemu Ulsan Hyundai adalah ketika aksi Kumpulan I ACL 2022. — Agensi
Tetapi, usaha untuk mengukuhkan tempat mereka itu berdepan cabaran tersendiri apabila mereka bakal berdepan pasukan dari Korea Selatan, Ulsan Hyundai.
Rekod pertemuan lalu menyaksikan skuad Harimau Selatan mencatatkan dua kemenangan berturut-turut ketika bertemu kelab berkenaan dalam saingan ACL 2022.
Bagaimanapun, prestasi memberangsangkan pasukan tersebut di peringkat domestik serta Asia sudah tentu akan menjadi tumpuan dalam misi JDT mengumpul tiga mata penuh.
Jadi, persiapan rapi sudah tentu dibuat ketua jurulatih, Esteban Solari dalam usaha kelab mengesahkan slot ke peringkat kalah mati untuk edisi kedua berturut-turut.
Kekalahan dalam aksi Liga K sudah tentu menjadi tekanan buat Ulsan Hyundai. — Agensi
Bagaimanapun, nasib seperti berpihak kepada jaguh Liga Super itu apabila Ulsan Hyundai mengalami kekalahan dalam aksi domestik baru-baru ini.
Skuad kendalian Hong Myung-bo itu dilihat kalah tipis 0-1 kepada Gwangju FC dalam aksi play-off kejohanan Liga K dalam pertemuan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Gwangju, Korea Selatan.
Kekalahan berkenaan sudah tentu akan memberi tekanan buat Ulsan Hyundai ketika berdepan JDT dengan mereka pastinya tidak mahu memandang rendah kebolehan skuad Harimau Selatan.
Setakat dua perlawanan ACL, kelab Korea Selatan itu hanya mengumpul tiga mata selepas turut mengalami kekalahan ketika berdepan pendahulu kumpulan, Kawasaki Frontale.
Ulsan Hyundai bakal berdepan JDT di Stadium Bola Sepak Munsu, Korea Selatan pada Selasa dengan kemenangan akan membantu mana-mana pasukan menduduki tangga kedua Kumpulan I. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram