POLIS menahan dua lelaki kerana membawa pisau dan menghalang tugas penjawat awam ketika perlawanan bola sepak separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak FC dan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Perak, Ipoh, pada Khamis.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tangkapan itu bagaimanapun hanya melibatkan kesalahan kecil tanpa sebarang isu rusuhan atau pergaduhan.
"Tangkapan hanya melibatkan dua individu sahaja dan itu pun melibatkan kesalahan kecil.
"Mereka ditahan kerana membawa barang larangan iaitu pisau dan menghalang tugas penjawat awam serta melemparkan kata-kata kesat," katanya dalam satu kenyataan pada Jummat.
Sebaik tamat perlawanan, dua lelaki berkenaan dibawa keluar polis dari stadium dalam keadaan tangan bergari.
Perlawanan di hadapan 21,613 penonton itu berkesudahan dengan JDT mengatasi tuan rumah dengan jaringan 4-1.
Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, aksi perlawanan berjalan dalam keadaan terkawal baik di dalam mahupun luar stadium tanpa sebarang insiden tidak diingini.
"Penyokong kedua-dua pasukan telah memberi kerjasama yang baik dengan mematuhi segala arahan pihak berkuasa," katanya.
Dalam perlawanan itu, ratusan anggota dan pegawai polis yang difahamkan sekitar lebih 300 pegawai dan anggota termasuk dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan bagi mengawal ketat keadaan di stadium itu.
Untuk rekod, pada April 2014, insiden pergaduhan besar membabitkan penyokong The Bos Gaurus dan Harimau Selatan tercetus di luar pekarangan stadium dalam aksi Liga Super yang berkesudahan Perak tumpas 0-1 kepada JDT di Stadium Perak.
Insiden berkenaan berulang pada Ogos 2016 apabila Perak sekali lagi tumbang di laman sendiri kepada JDT dengan jaringan sama dan turut menyebabkan kecederaan menimpa seorang petugas media. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram