MERENTASI tahun, skuad bola sepak Malaysia mengalami pelbagai perubahan dari sudut jawatan ketua jurulatih.
Pada waktu bola sepak kita duji dengan hebat, penyokong disajikan dengan pertukaran jurulatih yang kerap. Pada satu ketika, kita bersama dengan pengendali ini, selepas itu datang pula yang lain mengambil alih.
Dalam kalangan jurulatih tempatan yang berkhidmat dengan kelab Liga Super, terdapat beberapa nama yang sebelum ini pernah melatih skuad kebangsaan.
Antaranya adalah Datuk Dollah Salleh (Sri Pahang FC) dan Tan Cheng Hoe (Selangor FC). Kedua-dua nama ini mempunyai cerita mereka yang tersendiri bersama Harimau Malaya.
Begitu juga dengan pengendali Sabah FC iaitu Datuk Ong Kim Swee. Kim Swee sebelum ini menempa nama sebagai pengendali skuad Harimau Muda, kejayaan yang paling diingati olehnya adalah berjaya mempertahankan pingat emas acara bola sepak Sukan SEA 2011 di Indonesia.
Maju ke tahun 2015, Kim Swee kemudiannya diminta oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menggantikan Dollah Salleh yang meletakkan jawatan sebagai jurulatih sementara Harimau Malaya selepas kekalahan 0-10 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE). Sejak itu, prestasi Harimau Malaya dilihat lebih stabil hasil kepimpinan Kim Swee.
Kisah Kim Swee bersama Harimau Malaya bermula sebagai pengendali sementara pada 2015. — Agensi
Namun masa depannya tergantung, dengan status sebagai pengendali sementara menimbulkan persoalan, adakah FAM akan mengambil muka baharu sebaik kontraknya tamat pada 31 Disember 2015?
Kim Swee kemudiannya mengambil tindakan apabila terus menghantar permohonan rasmi untuk menjadi pengendali Harimau Malaya. Dia berasakan sudah tiba masanya untuk berdepan cabaran lebih getir sebagai jurulatih.
"Saya telah menghantar permohonan selepas adakan perjumpaan dengan Datuk Hamidin Mohd Amin. Saya tidak memohon untuk jawatan skuad bawah 23 tahun (B-23) kerana saya rasakan sudah bersedia untuk menghadapi cabaran lebih besar.
"Saya telah fikir dalam-dalam mengenainya selepas menerima maklum balas positif daripada para pemain dan berdasarkan prestasi pasukan," kata Kim Swee ketika itu.
Kim Swee kemudiannya berjaya menewaskan dua lagi calon iaitu Bojan Hodak yang melatih Johor Darul Takzim (JDT) ketika itu serta pengendali skuad kebangsaan Myanmar, Radojko Avramovic.
Kim Swee kemudiannya melatih Harimau Malaya selama dua tahun hingga 2017. Pada 2021, Kim Swee diangkat menjadi pengarah teknikal FAM sebelum menyertai Sabah pada akhir tahun tersebut.
Kini masih lagi bersama-sama Sabah, Kim Swee telah membawa pasukan tersebut menjadi salah sebuah kelab disegani di Liga Super sambil memastikan cabaran Malaysia di peringkat Asia terus menyala. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram