[VIDEO] Media antarabangsa tertarik suasana, sokongan ekor Harimau Malaya buat Palestin


  • Podium
  • Selasa, 17 Okt 2023

Ultras Harimau Malaya hadir dengan insiatif tersendiri untuk membuktikan solidariti buat penduduk Palestin. — Facebook/FAM

AKSI antara Harimau Malaya dan India dalam separuh akhir Pestabola Merdeka Jumaat lalu menyaksikan kira-kira 46,000 penyokong skuad kebangsaan hadir membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Sorakan cukup bersemangat jelas kedengaran bergema di venue terbabit dalam usaha masing-masing memberikan sokongan buat pemain negara.

Namun, tumpuan sudah tentu diberikan kepada kumpulan ultras yang cukup dikenali dengan semangat tidak pernah putus sepanjang 90 minit permainan.

Ketika perlawanan berkenaan, ribuan penyokong dalam kalangan mereka berada di zon khas di dalam stadium itu berpakaian serba hitam serta dihiasi panji cukup menarik.

Bagaimanapun, di sebalik panji dan Jalur Gemilang yang dikibarkan, ada di antara mereka yang mengambil peluang membawa bendera Palestin.

Perkara terbabit dibuat untuk membuktikan pendirian orang ramai dalam menyokong negara tersebut yang ketika ini sedang berdepan konflik dengan rejim Zionis.

Selain itu, inisiatif berkenaan juga dibuat untuk memberikan tekanan buat pemain serta pasukan India yang sebelum ini jelas membuktikan pendirian mereka mengenai pergolakan di Timur Tengah itu.

Tidak cukup dengan kibaran bendera, kumpulan Ultras Malaya tersebut turut hadir dengan nyanyian yang dicipta khas buat warga Palestin.

Sorakan daripada Ultras Malaya yang menunjukkan solidariti buat penduduk Palestin. Facebook/Kurdiu

Sorakan terbabit sudah tentu mencuri perhatian media yang amat tertarik dengan semangat dan inisiatif dibuat penyokong bola sepak tanah air.

Antara yang juga terkesima dengan perkara itu ialah sebuah agensi media Iraq, Kurdiu yang memuat naik sorakan daripada ultras Harimau Malaya tersebut.

Rakaman berdurasi 31 saat terbabit dikongsikan di Facebook rasmi mereka dengan kapsyen 'Sokongan buat Palestin di salah sebuah stadium sekitar Malaysia'.

Video yang dimuat naik pada Ahad itu kini sudah menerima lebih daripada 681,000 tontonan yang sekali gus menaikkan nama negara di mata dunia.

Sebelum ini, Palestin merupakan salah sebuah pasukan yang menghantar skuad untuk Pestabola Merdeka edisi ke-42 dengan mereka dijadualkan bertemu Tajikistan di peringkat separuh akhir.

Bagaimanapun, konflik dengan tentera Zionis menyaksikan Palestin terpaksa menarik diri, sekali gus menyaksikan Tajikistan mendapat 'bye' dan layak ke perlawanan akhir pada Selasa untuk bertemu Malaysia yang menundukkan India 4-2 pada Sabtu lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram