Suhaimi Husin nama 'wildcard' gugat tempat Syihan Hazmi aksi final Pestabola Merdeka


  • Podium
  • Selasa, 17 Okt 2023

Suhaimi Husin masih menanti peluang untuk beraksi buat kali pertama bersama-sama Harimau Malaya. — Facebook/FAM

PERLAWANAN akhir Pestabola Merdeka bakal menyaksikan Malaysia berpeluang mendapatkan kejuaraan pertama di era Kim Pan-gon apabila turun menentang Tajikistan.

Sejak mengambil alih pasukan, Pan-gon telah mengubah Harimau Malaya menjadi sebuah pasukan yang cukup menghiburkan dari segi corak permainannya.

Sambil mula mewujudkan budaya meraih kemenangan, Pan-gon turut membuktikan kepada semua yang ramai pemain boleh menaruh harapan untuk menyarung jersi negara.

Memandangkan Tajikistan bakal hadir dengan ramai pemain muda, ini adalah masa sesuai untuk Pan-gon menurunkan beberapa nama yang sebelum ini kurang beraksi agar minit permainan berjaya diraih bersama Harimau Malaya.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, ini adalah tiga pemain yang boleh dipertimbang oleh Pan-gon untuk diturunkan pada aksi akhir kelak:

1. Suhaimi Husin

Penjaga gol Terengganu FC ini mencuri tumpuan dengan persembahan cemerlangnya di peringkat kelab kebelakangan ini.

Ia terus membuatkan nama Suhaimi dimasukkan dalam skuad kebangsaan. Dengan hanya tinggal satu perlawanan sahaja di Pestabola Merdeka, tidak salah jika Pan-gon hendak menurunkan penjaga gol ini bertemu Tajikistan.

Namun begitu, peluang untuk melihat Suhaimi diturunkan adalah tipis kerana faktor keberkesanan Syihan Hazmi di pintu gol selain prestij perlawanan akhir pasti akan membuatkan Pan-gon tidak mahu menurunkan selain daripada penjaga gol utamanya.

Akan tetapi, jika peluang itu diberikan, pasti menarik untuk melihat bagaimana aksi Suhaimi dalam jersi Harimau Malaya.

2. Daniel Ting

Melihat kepada kontroversi padang Stadium Nasional Bukit Jalil ketika perlawanan bertemu India, terdapat kegusaran dalam kalangan penyokong mengenai rumput zeon zoysia.

Hal ini kerana, penyokong gusar keadaan rumput akan membuatkan pemain mengalami kecederaan ketika beraksi.

387847617_1027166288356607_6583319621830085002_n

Daniel Ting merupakan pilihan kedua di pertahanan kiri di belakang La'Vere Corbin-Ong. — Facebook/FAM

Oleh kerana itu, mungkin Pan-gon boleh memberikan peluang kepada Daniel Ting untuk beraksi di pertahanan kiri menggantikan La'Vere Corbin-Ong.

Tidak dinafikan kehebatan Corbin-Ong sebagai pertahanan kiri terbaik negara, tetapi mungkin peluang boleh diberikan buat Ting untuk membuktikan kebolehannya bersama Harimau Malaya.

Jika diturunkan, pastinya penyokong teruja untuk melihat bagaimana Ting menonjolkan kehebatannya. Adakah dia lebih akan beraksi lebih baik berbanding Corbin-Ong?

3. Shamie Iszuan

Pemain sayap ini mencuri tumpuan ketika dipanggil pada Piala AFF 2022 namun tenggelam seketika kerana kecederaan.

Kini kembali lagi bersama Harimau Malaya, Shamie boleh menunjukkan kehebatannya sekali lagi jika diturunkan pada aksi bertemu Tajikistan.

391679711_1028425601564009_9007316960408586728_n

Pemilihan Shamie ke Harimau Malaya timbulkan persoalan. — Facebook/FAM

Ramai yang meragui keputusan Pan-gon memanggil Shamie ke skuad kebangsaan, dan jika diturunkan pemain Sri Pahang FC itu boleh membuktikan tindakan itu tepat sekali gus menutup mulut pengkiritik.

Mungkin persembahan cameo Shamie ketika bertemu India belum mencukupi. Seandainya diturunkan menentang Tajikistan, Shamie perlu mengambil peluang tersebut dan berikan yang terbaik untuk Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram