Pesaing bek kiri lain dorong Corbin Ong pamer aksi terbaik


  • Podium
  • Isnin, 16 Okt 2023

Bek kiri skuad kebangsaan, Corbin Ong mahu menjulang trofi kejuaraan bersama pasukan Harimau Malaya dalam aksi final Pestabola Merdeka nanti. — Instagram/lavco

PERTAHANAN kental Malaysia, La’Vere Corbin Ong pertama kali dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya pada 2019 dan perlahan-lahan berkembang di bawah bimbingan bekas pengendali ketika itu, Tan Cheng-hoe.

Selepas empat tahun dan 28 caps, bek kiri berusia 32 tahun itu menyaksikan skuad kebangsaan menikmati kenaikan ranking dan mampu bersaing dengan kelab bola sepak luar negara.

Tentunya, bek kiri Johor Darul Takzim (JDT) itu mahu menjulang trofi pertamanya bersama pasukan kebangsaan dalam perlawanan akhir menentang Tajikistan pada aksi Kejohanan Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Isnin.

Kini, di bawah kendalian jurulatih kelahiran Korea Selatan, Kim Pan-gon, skuad kebangsaan berharap agar memenangi trofi itu sekali lagi selepas 10 tahun.

Kejohanan kali terakhir diadakan pada 2013 dan Malaysia menewaskan Myanmar 2-0 pada perlawanan akhir.

“Kami sudah menunjukkan banyak peningkatan dan boleh bermain bola sepak yang mampu mengujakan peminat.

“Bukan untuk mengatakan kami tidak bermain bola sepak berkualiti sebelum ini tetapi hanya menunggu masa sebelum kami bangkit perlahan-lahan.

"Bagi Tajikistan, ia akan menjadi perlawanan yang berbeza daripada India. Ia akan menjadi sukar tetapi jurulatih sudah merancang sesuatu yang berbeza.

“Semua pemain teruja dan bersemangat untuk berlatih dan memberikan trofi kepada rakyat Malaysia,” kata pemain Harimau Selatan itu.

Corbin Ong yang bermain di bek kiri untuk negara berjaya mengekalkan posisinya dalam pasukan kebangsaan berkat persembahannya yang konsisten.

Dia bagaimanapun masih tidak berpuas hati dengan aksi persembahannya itu.

"Kami mempunyai bek kiri berbakat di negara ini. Saya gembira menjadi pilihan pertama bek kiri tetapi itu bukan bermakna tiada pencabar.

"Malaysia mempunyai ramai pertahanan kiri yang bagus dan mungkin mampu mencabar posisi saya. Mereka bagaimanapun mendorong saya untuk memberikan yang terbaik setiap masa.

"Apabila saya bermain saya cuba melakukan yang terbaik untuk Malaysia dan kelab saya,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram