Harimau Malaya jangan masuk jerat perang minda Tajikistan


  • Podium
  • Selasa, 17 Okt 2023

Skuad Harimau Malaya berjaya melangkah ke pusingan akhir selepas menewaskan pasukan India dengan keputusan 4-2.

KEJAYAAN pasukan kebangsaan melayakkan diri ke peringkat akhir Pestabola Merdeka menentang Tajikistan pada Selasa hangat diperkatakan peminat bola sepak tempatan ketika ini.

Dengan perkhabaran diterima dari kem latihan Tajikistan bahawa mereka kehilangan 15 pemain utama, ia sekali gus menguatkan lagi stigma kejuaraan yang mampu diperoleh skuad Kim Pan-gon dalam edisi kali ini.

Biarpun berada di ranking ke-134, peminat optimis skuad Harimau Malaya mampu menumbangkan pasukan lawan yang berada di kedudukan jauh lebih baik iaitu ke-110 dunia.

Ditambah pula dengan kemenangan 4-2 diperoleh ketika menentang India (102) pada Jumaat lalu, dua lagi pasukan di ranking tertinggi sebelum ini turut menerima tentangan sengit apabila Syria (93) dan China (80) masing-masing terikat dengan keputusan seri dalam aksi siri persahabatan.

Tampil dengan ramalan berbeza, wartawan Majoriti iaitu Zikry Marzuki, Nazreen Izahar dan Rahmi Jumriati Jono memberikan pandangan masing-masing.

Zikry Marzuki — Taktik 'perang minda' Tajikistan

Malaysia berpeluang meraih kemenangan dalam peringkat akhir menentang Tajikistan dengan jurang gol yang selesa.

Walaupun kedua-dua pasukan berada di jarak kedudukan yang besar dalam ranking FIFA, prestasi memberangsangkan skuad kebangsaan sudah cukup untuk memberi kelebihan.

Selain itu, ketua jurulatih Tajikistan, Petar Segrt sebelum ini mengatakan anak-anak buahnya yang akan diturunkan tidak mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa.

nana

Tajikistan dijangka menurunkan barisan pemain muda dalam perlawanan menentang Harimau Malaya. — Facebook/Tajikistan

Sekali pun ia hanya satu 'perang minda' daripadanya, mesej tersebut pastinya akan membakar lagi semangat pemain negara untuk menundukkan negara di ranking ke-110 dunia itu.

Gol Harimau Malaya dilihat akan disumbangkan Akhyar Rashid dan Faisal Halim sementara Arif Aiman Hanapi atau Darren Lok juga berpeluang mencatatkan jaringan peribadi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Nazreen Izahar — Debut Suhaimi Husin

Perlawanan ini akan menyaksikan Kim Pan-gon akan turunkan barisan terkuatnya bagi memastikan kejayaan berjaya dicapai pada wisel penamat.

Persembahan positif akan diberikan dengan harapan gol awal dapat dicari dan menyukarkan pihak lawan untuk memberikan saingan.

Namun begitu, saya tertarik untuk melihat pengendali Harimau Malaya memberikan peluang kepada satu, dua muka baharu dalam perlawanan akhir ini.

suhaii

Suhaimi Husin ketika menjalani latihan bersama skuad kebangsaan. — Facebook/FAM

Mungkin, Pan-gon boleh memberikan peluang kepada 'debutant' iaitu Suhaimi Husin untuk beraksi walaupun peluangnya agak tipis kerana Syihan Hazmi lebih bersedia untuk menjaga gawang Malaysia.

Ramalan saya, Malaysia menang dengan keputusan 2-1.

Rahmi Jumriati Jono — Akhyar Rashid, Darren Lok cetak jaringan

Harimau Malaya berpeluang cerah untuk merangkul trofi kejohanan Pestabola Merdeka terutamanya dengan keadaan Tajikistan yang akan tampil tempang berikutan ketiadaan 15 pemain utama mereka.

yarr

Akhyar Rashid antara penggempur utama skuad kebangsaan ketika menentang pasukan India.

Kelemahan Tajiskitan itu membolehkan skuad kebangsaan untuk melaksanakan misi membalas dendam selepas dimalukan 0-3 melalui sepakan penalti apabila seri tanpa jaringan pada final Piala Raja Thai di Chiang Mai, Thailand pada tahun lalu.

Pan-gon yang mungkin akan meletakkan barisan hadapan yang sama akan menyaksikan Akhyar Rashid dapat meledak satu gol untuk Harimau Malaya dan Darren Lok yang terlepas beberapa peluang pada aksi menentang India akan turut meledak jaringan menentang Tajikistan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram