PENYOKONG bola sepak yang hadir ke final Pestabola Merdeka 2023 antara Malaysia dan Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa diingatkan tidak membawa masuk sebarang bahan terlarang termasuk bendera negara lain yang tidak berkaitan dengan perlawanan itu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, bahan terlarang seperti mercun, bunga api, suar, topi keledar, penunjuk laser, mancis, pemetik api, objek tajam, senjata, minuman keras, payung dan tongkat dilarang dibawa masuk ke dalam stadium.
"Dijangka seramai 45,000 orang penyokong akan hadir bagi menyaksikan perlawanan tersebut di Stadium Bukit Jalil dan semua pintu masuk stadium akan dibuka pada pukul 6 petang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, Zam Halim juga menasihatkan peminat bola sepak yang hadir agar menggunakan pengangkutan awam untuk ke stadium selain bersabar, berhemah serta bertolak-ansur jika memandu kenderaan.
Katanya, orang ramai yang tidak menuju ke stadium juga dinasihatkan untuk mengelak melalui jalan di sekitar stadium berkenaan bagi mengurangkan kesesakan.
"Orang ramai diingatkan supaya menjaga tatasusila serta tidak melakukan provokasi melampau sehingga mencetuskan kekacauan sama ada semasa perlawanan mahu pun selepas perlawanan itu," katanya.
Tajikistan mendapat 'bye' ke final selepas penarikan Palestin pada saat akhir Isnin lepas disebabkan keadaan tegang di sana.
Skuad Harimau Malaya layak ke final selepas membenam India 4-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat lepas. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram