Hanya tanda harga jadi penghalang, 'striker' muda Tajikistan mula diintai kelab Liga Super


  • Podium
  • Selasa, 17 Okt 2023

Pemain muda Tajikistan sudah bersedia untuk melakukan kejutan berdepan Harimau Malaya. — Facebook/TajikistanFootballFederation

SELEPAS perlawanan yang mengujakan dipersembahkan skuad kebangsaan kepada lebih 43,000 penyokong dengan keputusan menang 4-2 ke atas India, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sekali lagi digegarkan oleh sokongan ekor Harimau Malaya.

Penyokong pasukan kebangsaan semestinya tidak ketinggalan untuk turun hadir ke gelanggang keramat Harimau Malaya bagi menyaksikan perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 menentang pasukan di ranking ke-110 dunia, Tajikistan.

Sebahagian daripada penyokong yakin bahawa skuad kebangsaan pasti tidak mempunyai masalah untuk merangkul trofi kejohanan tersebut terutamanya selepas ketua jurulatih Tajikistan, Petar Segrt mendedahkan pasukannya tampil tanpa 15 tonggak utama.

Segrt bagaimanapun yakin para pemain Tajikistan sudah bersedia dan mampu melakukan kejutan berdepan Harimau Malaya, sekali gus membawa pulang piala berprestij kejohanan edisi 2023 itu ke bumi Dushanbe.

Walaupun berstatus sebagai pemain muda namun hakikatnya ubi muda skuad The Crowns mempunyai pengalaman bermain dengan kelab terkemuka dan kualiti mereka juga boleh menjadi asbab untuk kelab Liga Super mengintai tonggak baharu bagi musim depan.

Oleh itu, perlawanan akhir Pestabola Merdeka itu boleh menjadi aktiviti 'sambil menyelam minum air' untuk sebahagian barisan kejurulatihan kelab Liga Super untuk mencari pemain baharu bagi saingan liga domestik musim depan.

Majoriti senaraikan tiga prospek Tajikistan yang perlu dipantau oleh pengendali kelab Liga Super dalam misi mencari pemain baharu pada saingan domestik 2024:

1) Vakhdat Khanonov

cb taji

Vakhdat diberi kepercayaan untuk mengemudi bek tengah Tajikistan. — Instagram/Vakhdat

Dalam senarai 24 pemain pengendali dari Croatia itu, nama Vakhdat Khanonov antara ubi muda yang mempunyai kaps terbanyak bersama skuad Tajikistan dan dia sering menjadi pilihan Segrt sejak ketua jurulatih itu mengambil alih pada 2022.

Daripada 22 perlawanan antarabangsa Vakhdat diturunkan untuk skuad The Crowns, pemain berusia 23 tahun itu sudah mencetak dua jaringan gol ketika saingan Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (Cafa) Nations Cup dan ketika aksi persahabatan menentang Singapura.

Di peringkat kelab pula, bek tengah Tajikistan itu beraksi bersama kelab gergasi Iran, Persepolis yang mana turut diberi peluang untuk beraksi di saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan kejohanan domestik.

Sebelum menyarung jersi juara Iran Pro League musim lepas itu, Vakhdat terlebih dahulu mencipta nama sebagai pertahanan kental untuk kelab liga divisyen satu Tajkistan, Istiqlol Dushanbe bagi musim 2020 hingga 2021.

Vakhdat kini bernilai RM1.6 juta dan dia pastinya menjadi buruan kelab gergasi Liga Super yang mempunyai kewangan kukuh untuk menampung membayar gaji pertahanan sedang meningkat naik Tajikistan itu.

2) Shakhrom Samiev

samiev taji

Shakhrom (kanan) ketika beraksi untuk pasukan junior Tajikistan. — Instagram/Shakhrom

Penyerang muda Tajikistan, Shakhrom Samiev bukanlah seorang pemain yang berpengalaman bersama pasukan senior namun untuk tugasan negaranya kali ini, dia mendapat kepercayaan Segrt untuk mengemudi jentera serangan.

Pemain yang kini baru sahaja menyarung jersi kelab Moldova, Milsami Orhei itu sudah mencatatkan 19 penampilan buat negaranya dengan empat gol sudah disumbat dalam tempoh berkenaan.

Sebelum bersama Milsami, pemain berusia 22 tahun itu FC Zimbru Chisinau di liga sama dan Shakhrom diberikan peluang beraksi dalam lapan perlawanan untuk kelayakan pertandingan Europa Conference League.

Catatan jaringan gol bersama pasukan Tajikistan dan pengalamannya dengan kelab negara Eropah pasti sudah pasti mencuri perhatian pengendali kelab Liga Super lain untuk menyambarnya sebagai penyerang musim depan.

3) Manuchekhr Safarov

savarof taji

Manuchekhr antara bek kanan utama untuk skuad The Crowns. — Instagram/Manuchekhr

Baru berusia 22 tahun namun sejak 2019, bek kanan Tajikistan, Manuchekhr Safarov sudah sering mendapat kepercayaan jurulatih untuk tampil dalam pelbagai tugasan negara sama ada aksi persahabatan ataupun kejohanan lain.

Sepanjang kariernya bersama skuad kebangsaan Tajikistan, pemain kelahiran Dushanbe itu sudah merekodkan 27 penampilan dengan membantu membuat tiga hantaran bantuan untuk skuad The Crowns.

Sebelum beraksi bersama pasukan divisyen dua Uzbekistan, Lokomotiv Tashkent, Manuchekhr berkelana di bumi Iran dengan beraksi bersama Persepolis dan kelab liga divisyen satu Tajkistan, Istiqlol.

Peranan bek kanan amat penting untuk mengekang penyerang sayap kiri dan pemain berpengalaman yang mempunyai tanda harga sebanyak RM1.4 juta itu adalah satu pembelian berbaloi untuk memberi saingan di saingan domestik mahpun antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram