Acu pisau paksa anak solat, bapa dihukum penjara 12 bulan


Seorang bapa dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan kerana melakukan ugutan jenayah terhadap anaknya.

MAHKAMAH Majistret Tawau, Sabah pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap seorang bapa yang berdepan tuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap anak lelaknyai pada Ogos lalu.

Menurut laporan media, tertuduh, Ardi Aris, 32, sebelum ini didakwa mengacu pisau ke arah anaknya, Zack Azroy, 13, dan memaksa kanak-kanak itu untuk menunaikan solat ketika di kediaman bekas iparnya dekat Batu 8 Jalan Tiku, Tawau pada pukul 9 pagi, 4 Ogos lalu.

Mangsa yang dalam ketakutan bagaimanapun bertindak menuruti arahan bapanya sebelum ibu saudaranya menghubungi pihak polis.

Majistret, Don Stiwin Malanjum, memutuskan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah daripada tertuduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Dia didakwa mengikut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintenden Nur Intan Jamrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Untuk rekod, tertuduh yang bekerja di sebuah premis cuci kereta telah bercerai dengan isterinya dan sebelum ini pernah dirujuk ke Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu, Sabah kerana disyaki mengalami masalah mental.

Tertuduh dalam rayuannya bagaimanapun memohon kepada Mahkamah supaya hukuman diringankan dengan alasan sudah insaf selain menyesal atas perbuatannya itu.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan hukuman pemenjaraan berkuat kuasa dari tarikh tangkapan iaitu pada 4 Ogos 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram