Hakim arah Najib Razak, anak lelaki bayar dulu RM1.69 bilion cukai tertunggak


Najib Razak dan anaknya diperintah untuk membayar cukai tertangguh oleh Mahkamah Persekutuan Putrajaya. — Bernama

MAHKAMAH Persekutuan Putrajaya mengarahkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin untuk menjelaskan sebanyak RM1.69 bilion dan RM37.6 juta cukai yang tidak dibayar.

Perintah itu dikeluarkan selepas hakim mahkamah tersebut menolak rayuan Najib dan Mohd Nazifuddin untuk mengenepikan penghakiman terus bagi menyelesaikan tunggakan cukai tersebut.

Menurut laporan media, Hakim Nallini Pathmanathan menjelaskan bahawa prinsip 'bayar dahulu, berbincang kemudian' kekal berkuat kuasa dalam hal tersebut.

Katanya, sesiapa yang berhutang kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), mesti menyelesaikan jumlah tertunggak sebelum merayu kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan.

"Mengutip cukai adalah fungsi berdaulat kerajaan," katanya dalam keputusan sebulat suara panel lima hakim.

Tambahnya, seksyen 106(3) Akta Cukai Pendapatan adalah berperlembagaan kerana ia tidak melanggar Perkara 5, 8 dan 121 Perlembagaan Persekutuan.

Untuk rekod, Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

LHDN melalui kerajaan Malaysia juga telah memfailkan writ saman terhadap Mohd Nazifuddin pada 24 Julai 2019, mendakwa beliau masih belum membayar cukai untuk tahun taksiran dari 2011 hingga 2017 berjumlah RM37,644,810.73 seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Najib dan Mohd Nazifuddin juga menerima notis kebankrapan daripada LHDN kerana gagal melunaskan cukai pendapatan seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram