SEORANG pemandu kereta jenis Toyota Hilux berdepan detik cemas apabila hanyut dibawa arus deras di sungai Teratak Riverview dekat Tanjung Malim, Perak pada Sabtu malam.
Difahamkan, kejadian itu berlaku sebaik individu berkenaan cuba untuk merentas sungai tersebut sebelum didatangi kepala air secara tiba-tiba.
Situasi itu sekali gus memerangkap pemandu terbabit yang kemudiannya hanyut di sungai berkenaan.
Disaksikan beberapa individu lain, namun tiada bantuan diberikan akibat deras yang terlampau kuat ketika kejadian.
Namun, si pemandu berjaya diselamatkan selepas beberapa individu daripada kelab persatuan kenderaan pacuan empat roda dari Shah Alam, Selangor, tampil membantu dan mengeluarkan mangsa.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dalam insiden tersebut namun kenderaan tersebut dipercayai mengalami kerosakan teruk.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika melakukan aktiviti di kawasan sungai dan berwaspada dengan ancaman kepala air. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram