DALAM sesi latihan Kedah Darul Aman (KDA) FC kebelakangan ini, orang ramai mula bertanya-tanya mengenai ketiadaan penjaga gol utama, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.
Perkara itu sudah tentu menimbulkan pelbagai persepsi memandangkan pemain berkenaan sudah menjadi tonggak buat skuad Sang Kenari musim ini.
Dalam 22 perlawanan Liga Super KDA FC, bekas pemain Petaling Jaya (PJ) City FC tersebut hanya tidak diturunkan sebanyak lima kali, sekali gus menceritakan peranan pentingnya buat pasukan.
Isu berkenaan dibangkitkan sehingga segelintir penyokong Hijau Kuning berpendapat ketiadaan Kalamullah berkait dengan masalah gaji yang digembar-gemburkan ketika ini.
Bagaimanapun, tanggapan terbabit segera ditepis apabila pada Sabtu, KDA FC menyatakan penjaga gawang berusia 28 tahun itu menghidapi penyakit influenza.

Hantaran pada Sabtu yang mengumumkan Kalamullah menghidapi penyakit influenza. — Facebook/KDA FC
"Warga KDA FC mendoakan semoga kesihatan Kalamullah Al-Hafiz dan keluarga cepat sembuh selepas dia sekeluarga disahkan positif influenza," tulis kelab Utara tanah air itu.
Hantaran berkenaan dilihat mencuri perhatian rata-rata penyokong skuad Sang Kenari yang mendoakan agar pemain itu diberikan kesihatan dan kesembuhan segera.
Sejak menyertai pasukan itu awal musim lalu, pemain kelahiran Kelantan tersebut sudah membuktikan kebolehannya apabila mencatatkan lapan clean sheets dalam Liga Super.
Kecemerlangannya tersebut sudah tentu akan meningkatkan peluangnya untuk dipanggil dalam skuad Piala Asia akan datang meskipun berdepan saingan hebat.
Sekiranya tidak dapat menurunkan Kalamullah, pengendali KDA FC, Nafuzi Zain masih boleh meletakkan kepercayaan terhadap ikon kelab, Ifwat Akmal untuk aksi seterusnya.
Di samping itu, skuad Sang Kenari juga boleh memberikan peluang kepada penjaga gol ketiga, Fikri Che Soh yang masih belum diturunkan sejak menyertai KDA FC dari Kelantan United awal musim lalu.
Skuad Sang Kenari bakal berdepan Negeri Sembilan FC dalam perlawanan ke-23 Liga Super pada 28 Oktober dalam misi mereka untuk merebut slot ke pentas Asia musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
