SAINGAN Piala AFF tahun depan mungkin akan menyaksikan pasukan ranking ke-96 dunia, Kyrgyzstan menyertai kejohanan yang dianggap sebagai 'Piala Dunia' Asia Tenggara itu.
Skuad kebangsaan Kyrgyzstan dikhabarkan sudah mencapai persetujuan dengan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) untuk menyertai kejohanan yang dianjurkan oleh badan induk itu di masa akan datang.
Menerusi perkongsian Asean Football dalam media sosial Presiden AFF, Samet Khiev dan Setiausaha Agung badan itu, Winston Lee telah mengadakan pertemuan dengan Kesatuan Bola Sepak Kyrgyz (KFU) untuk membincangkan peluang negara itu bagi beraksi di rantau Asia Tenggara.
"Selepas melakukan perbincangan dan membuat penelitian dari segala aspek, kedua-dua pihak mencapai persetujuan yang mana Kyrgyzstan dibenarkan untuk menyertai mana-mana kejohanan yang dianjurkan oleh AFF," ciapnya.
Presiden AFF, Samet Khiev (kanan) mengadakan pertemuan dengan KFU untuk membincangkan peluang Kyrgyzstan beraksi di rantau Asia Tenggara. — X/Asean Football
Kyrgyzstan yang dikendalikan oleh Stefan Tarkovic pada April lalu sudah mencatatkan tiga kekalahan serta dua kemenangan dalam lima perlawanan terakhir.
Baru-baru ini, negara yang turut dikenali dengan nama Republik Kyrgyz itu menduduki tangga keempat dalam saingan CAFA Nations Cup 2023 yang turut disertai Iran, Uzbekistan dan Oman.
Jika benar Kyrgyzstan mahu menyertai Piala AFF ia akan memberikan cabaran baharu kepada pasukan sedia ada apabila rata-rata negara yang bertanding menduduki ranking atas ke-100 dunia.
Untuk info, Kyrgyzstan berada dalam kumpulan yang sama dengan Malaysia dalam saingan Kelayakan Pusingan Kedua Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang akan bermula pada November ini.
Kali terakhir bertemu, Kyrgyzstan berjaya menewaskan Harimau Malaya dengan keputusan 0-1 di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 2018.
Ketika itu, bekas pemain import Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Edgar Bernhardt memimpin Kyrgyzstan untuk menewaskan skuad kendalian Tan Cheng Hoe. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram