Abu Kamara label 3 kelab Liga Super setaraf mutu di Eropah


  • Podium
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Abu Kamara pastinya mahu membantu Kuching City bergelar juara dalam aksi Challenge Cup 2023. — Instagram/aburazardkamara

PASUKAN Kuching City FC memulakan kempen Challenge Cup 2023 dengan menampilkan prestasi cemerlang apabila menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan agregat 4-0 untuk layak ke separuh akhir.

The Cats memiliki barisan pemain yang cukup berpengalaman dan mempunyai kelebihan masing-masing dalam kancah bola sepak.

Ini termasuk bintang import The Cats, Abu Kamara yang turut menjadi salah seorang pemain penting di bawah bimbingan jurulatih, Aidil Sharin Sahak.

WhatsApp Image 2023-10-13 at 15.19.07

Abu Kamara membantu The Cats mengikat PDRM dengan keputusan 1-1 dalam saingan Liga Super. — Instagram/aburazardkamara

Berkongsikan pengalaman sepanjang bergelar pemain bola sepak profesional, Abu Kamara menyifatkan tiga kelab Liga Super setaraf dengan pasukan bola sepak di Eropah.

Johor Darul Takzim (JDT, Sabah FC dan Selangor FC antara tiga kelab yang disebut-sebut oleh tonggak The Cats itu.

Pemain kelahiran Liberia itu berpandangan sedemikian kerana corak permainan berkualiti yang ditampilkan pasukan itu tanpa mengira siapa lawan mereka.

“Di Malaysia, saya ada beberapa kelab yang saya sangat kagum dengan kualiti mereka yang sama tahap dengan kelab di Eropah seperti Johor Darul Takzim, Sabah FC dan Selangor FC.

“Mereka ada ramai pemain kebangsaan dan apabila kita lawan kelab seperti itu, mereka buat kita banyak berlari di atas padang dan itu yang saya suka,” katanya.

Selepas ini, Kuching City akan menerima kunjungan daripada Kelantan United dalam saingan MFL Challenge Cup pada 22 Oktober nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram