KEDAH Darul Aman (KDA) FC dikatakan sedang dalam usaha mendapatkan penajaan baharu supaya memberikan mereka peluang untuk terus memajukan diri sebagai pencabar bola sepak tempatan.
Meskipun pernah mengadakan kerjasama dengan beberapa syarikat luar negara, kelab Utara tanah air tersebut dilihat masih jauh jika dibandingkan dengan Johor Darul Takzim (JDT).
Jadi, untuk merealisasikan usaha itu, skuad Sang Kenari difahamkan sedang cuba mengadakan hubungan dengan sebuah syarikat tempatan, Kumpulan DSAT Sdn Bhd.
Berdasarkan satu memo yang dikongsikan di media sosial, usaha untuk mengadakan persefahaman itu dibuat selepas sekeping surat dihantar kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) perbadanan berkenaan, Datuk Seri Azizul Tandek.
Sekeping surat yang tersebar di media sosial baru-baru ini.
Komunikasi itu dibuat dengan usahawan tanah air tersebut turut ditandatangani CEO KDA FC, Khamal Idris Ali dengan pengetahuan pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar.
"Saya mewakili pihak ahli Lembaga Pengarah dan pemegang saham Darulaman Football Club Sdn Bhd (sebagai pemilik KDA FC) ingin menawarkan kepada pihak Yang Berbahagia (YB) Datuk Seri penjualan saham kelab berjumlah 49.06 peratus dengan harga tawaran sebanyak RM15 juta sahaja.
"Sekiranya pihak YB Datuk Seri bersetuju dengan tawaran ini, sila nyatakan persetujuan secara bertulis kepada pihak Darulaman Football Club Sdn Bhd sebelum 30 September 2023," tulisnya.
Prestasi KDA FC ketika ini berada di tangga ketiga Liga Super dengan mereka masih berpeluang cerah untuk menempah slot ke pentas Asia musim depan.
Majoriti cuba menghubungi pihak pengurusan skuad Sang Kenari untuk mendapatkan respons mengenai surat serta jawapan daripada Azizul Tandek. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram