PERLAWANAN separuh akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Perak FC dijangka mengundang suasana meriah seperti mana sering disaksikan sebelum ini.
Meskipun kedua-dua pasukan berada di tahap berbeza dalam Liga Super, kejayaan masing-masing dalam pertandingan tersebut sudah tentu akan menarik perhatian penyokong.
Berdasarkan jadual dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), aksi pertama akan berlangsung di Stadium Perak, Ipoh pada 19 Oktober.
Jadi, persiapan rapi sudah tentu dibuat pihak pengurusan kelab Utara tanah air tersebut yang tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku seperti mana pernah berlaku sebelum ini.
Insiden sedemikian pernah tercetus ketika aksi Liga Super antara skuad The Bos Gaurus (TBG) dengan Selangor FC yang menyaksikan beberapa penyokong ditahan berikutan kekecohan di venue tersebut.
Pengumuman daripada Perak FC mengenai peningkatan mutu keselamatan di Stadium Perak, Ipoh. — Facebook/Perak FC
Oleh itu, dalam usaha untuk mengelak perkara sebegitu, Perak FC mengeluarkan kenyataan pada Jumaat yang mengatakan kerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah diadakan.
"Stadium Perak sudah mencapai kesepakatan dalam menjaga serta memastikan keselamatan para penyokong pasukan tuan rumah mahupun pelawat yang akan hadir menyaksikan perlawanan tersebut sentiasa berada dalam keadaan selamat dan terkawal.
"Sehubungan itu, bagi menjayakan hasrat berkenaan, beberapa ketetapan telah dicapai antaranya berkaitan larangan membawa masuk barangan terlarang yang perlu dipatuhi," tulisnya.
Pada 2021, terdapat kejadian tidak diingini berlaku ketika pertemuan antara JDT dan Perak FC apabila pemain kedua-dua kelab bertengkar selepas tamat perlawanan.
Insiden sedemikian juga pernah berlaku lima tahun sebelum apabila penyokong pasukan masing-masing mencetuskan kekecohan di luar Stadium Ipoh, Perak akibat provokasi berpanjangan sepanjang perlawanan.
Jadi, inisiatif bagi meningkatkan mutu keselamatan untuk aksi berkenaan sudah tentu akan dapat menghalang situasi itu daripada terus berlaku.
"Selain itu, pihak polis juga turut menambah bilangan pegawai dan anggota yang akan bertugas sempena perlawanan yang dimaksudkan di samping kawalan ketat di pintu-pintu masuk," katanya lagi.
Perak FC sebelum ini melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia setelah menyingkirkan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sabah FC.
Sementara JDT pula berjaya memastikan slot dalam peringkat tersebut untuk edisi keenam berturut-turut selepas berjaya menundukkan Kelantan FC dan Negeri Sembilan FC sebelum ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram