Ada rencah kejutkan JDT, Perak dan YCL enggan kibar bendera putih


  • Podium
  • Rabu, 04 Okt 2023

Yusri juga mahu penyokong skuad TBG membanjiri Stadium Ipoh, Perak untuk memberikan semangat buat para pemain. — Facebook/Perak FC

PERAK FC tidak akan sesekali mengangkat ‘bendera putih’, sebaliknya melaungkan tekad untuk mencipta kemenangan penting dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia berdepan juara bertahan, Johor Darul Takzim (JDT) di laman sendiri 19 Oktober ini.

Pengendalinya, Yusri Che Lah berkata, walaupun mengetahui akan kekuatan dimiliki skuad Harimau Selatan, namun tidak mustahil untuk pasukannya mencipta kejutan dengan kekal fokus dan bermain bermati-matian pada pertemuan itu nanti.

"Umum telah maklum tentang kekuatan JDT. Perkara itu tidak perlu saya ungkapkan namun daripada sudut pemain Perak sendiri, saya fikir semangat dan keazaman untuk menang itu perlu disemat dalam diri masing-masing.

"Sepanjang 90 minit permainan apa sahaja boleh berlaku dan saya fikir para pemain juga jangan terlalu menghormati pasukan lawan. Peluang beraksi di gelanggang sendiri harus digunakan sebaiknya untuk mencipta kemenangan,” katanya kepada Bernama pada Rabu.

382455405_326035839976798_368178494882458654_n

Jaringan Wan Zack (kiri) sudah cukup untuk menghantar skuad TBG ke separuh akhir Piala Malaysia. Facebook/Perak FC

Sebelum ini, juara Piala Malaysia edisi 2018 itu melakar kejutan besar apabila mengatasi Sabah 1-0 dalam perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Ipoh, Perak pada 25 September lalu.

Jaringan tunggal Wan Zack Haikal dalam masa kecederaan babak pertama sudah memadai bagi menempah slot ke separuh akhir dengan agregat 3-2.

Selain itu, Yusri turut mengharapkan ribuan penyokong The Bos Gaurus dapat hadir ke stadium untuk memberikan sokongan, sekali gus dapat membakar semangat para pemain dalam memburu kemenangan berharga.

"Penyokong merupakan pemain ke-12 yang memberi tonik tambahan kepada pemain atas padang dan saya fikir dengan keberadaan mereka (penyokong) ia akan menambah rencah untuk kita melakar kemenangan,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram