PERAK FC baru-baru ini membuat kejutan besar dengan menewaskan The Rhinos 1-0 dalam perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh, Perak pada 25 September lalu.
Keputusan itu menyaksikan skuad The Bos Gaurus (TBG) mara dengan agregat 3-2 selepas terikat 2-2 dalam aksi pertama di Stadium Likas pada 15 September lalu.
Kemenangan itu juga sekali gus menyaksikan skuad Seladang berjaya menempah slot separuh akhir Piala Malaysia dan bakal menentang Johor Darul Takzim (JDT) pada 20 0ktober, sebelum aksi timbal balik pada 3 November depan.
Kelab yang berpangkalan di Utara tanah air itu pastinya akan berdepan laluan mencabar apabila bertemu juara bertahan yang mana diketahui memiliki kekuatan sendiri dan motivasi besar untuk merebut kejuaraan berkenaan.
Selepas Harimau Selatan berhasil merangkul kejuaraan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut, skuad kendalian Esteban Solari makin bernafsu untuk melengkapkan treble untuk kali kedua.
Namun tidak dapat dinafikan anak-anak buah Yusri Che Lah pada ketika ini juga sudah mempamerkan aksi terbaik mereka dengan rekod membenam dua pasukan gergasi liga iaitu Sabah FC dan juga Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Anak-anak buah Yusri Che Lah pada ketika ini juga sudah mempamerkan aksi terbaik mereka. — Facebook/PerakFC
Malah final Piala Malaysia bagaimanapun bukanlah satu pentas yang asing buat Perak apabila sebelum ini pasukan itu berjaya menamatkan penantian 18 tahun menjulang Piala Malaysia selepas menewaskan Terengganu FC pada aksi final.
Mengimbas kembali detik-detik kemenangan ketika skuad Seladang di bawah kendalian Mehmet Durakovic, Perak saat itu mempunyai semangat juang tinggi dengan menewaskan Terengganu 4-1 menerusi penentuan penalti dalam aksi final di Stadium Shah Alam, Selangor kira-kira lima tahun lalu.
Detik bersejarah itu dilihat menjadi penyuntik semangat untuk The Bos Gaurus berlawan habis-habisan menentang Harimau Selatan meskipun menyedari di atas kertas peluang tipis menanti Perak.
Semangat tersebut turut mendapat pujian dan meraih perhatian penyokong JDT yang menunggu sekiranya pasukan 'underdog' seperti Perak mampu melakar keputusan mengejut ke atas Harimau Selatan.
Tangkap layar hantaran di Facebook Darul Takzim FC & Johor FA mengenai Piala Malaysia baru-baru ini.
"Tak mustahil. Mungkin rezeki Yeop boleh kalahkan JDT, kan aura menewaskan Sabah baru ni masih kuat, go Yeop go. Kejor Yeop kejor, apa apa pun tahniah JDT dah menang," cakap Abdul Wahab Ghani.
"Perak boleh menang. Tapi jangan sia-siakan satu pun peluang. Ada peluang cuba terus gol. JDT dekat ACL pun boleh menang. Takkan Perak tak boleh menang dengan Gergasi Merah Biru," tulis Hamizi Daniel.
"Kalau Perak boleh tewaskan JDT semi final nanti maka cerah untuk Perak jadi juara Piala Malaysia. Apa-apa pun kita tunggu," ujar Deen Amin.
Dari segi rekod, skuad Seladang lebih banyak merangkul piala kejohanan yang tertua di rantau Asia itu dengan merekodkan sebanyak lapan kali kemenangan (1926, 1931, 1957, 1967, 1970, 1998, 2000, 2018).
Manakala, JDT pula merekodkan tiga kejuaraan Piala Malaysia iaitu pada 2017, 2019 dan musim 2022 selepas menewaskan Selangor FC 2-1. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram