KESANGSIAN mengenai kebolehan Yusri Che Lah sebagai jurulatih kian terpadam apabila dia berjaya membuktikan bakatnya bersama Perak FC dalam Piala Malaysia 2023.
Pada peringkat awal pelantikannya, ramai pihak, termasuk segelintir penyokong skuad The Bos Gaurus (TBG) berasa sangsi akan kemampuannya.
Manakan tidak, pasukan Utara tanah air berkenaan ketika itu berada dalam satu tempoh yang cukup mencabar di bawah kendalian Datuk Lim Teong Kim.
Keharmonian pemain dikatakan berada di tahap kritikal dengan beberapa laporan mengatakan berlakunya salah faham di dalam bilik persalinan akibat prestasi tidak memberangsangkan.
Ia diburukkan lagi dengan jumlah penonton yang semakin menurun di Stadium Ipoh, Perak apabila orang ramai sudah tidak lagi tertarik dengan perkembangan semasa skuad TBG.
Kedua-dua situasi berkenaan memberi satu cabaran besar buat Yusri yang tidak mempunyai pengalaman mencukupi dalam memberi nafas baharu buat kelab Liga Super.
Mesej pendek yang ditinggalkan Obiozor buat Yusri Che Lah.
Namun, setelah tiga bulan berada di tampuk pengendalian, jurulatih berusia 47 tahun tersebut berjaya menjawab segala persoalan dan kesangsian yang diberikan terhadapnya.
Meskipun impaknya masih belum dirasakan dalam saingan Liga Super, hasil daripada sentuhannya berjaya disaksikan dalam Piala Malaysia dengan Perak FC kini berada di peringkat separuh akhir.
Laluan mereka untuk layak ke peringkat terbabit juga bukanlah mudah memandangkan mereka perlu berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sabah FC.
Bagaimanapun, cabaran itu mudah dihadapi skuad kendalian Yusri sehingga mereka kini dilabel underdog dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air.
Pencapaian tersebut sudah tentu menerima perhatian daripada pelbagai pihak yang tidak mahu ketinggalan memberi pujian terhadap jurulatih itu.
Selain memujinya menerusi perkongsian di media sosial, ada juga yang berkesempatan menjulang namanya di kaca televisyen bagi mengiktiraf kebolehannya.
Obizor hanya bertahan buat beberapa bulan bersama skuad TBG. — Facebook/Perak FC
Malah, seorang bekas pemain Perak FC, Christian Obiozor turut mengambil peluang untuk memberi pujian terhadap usaha keras Yusri bersama pasukan terbabit.
"Yusri... The Special One," tulisnya pendek di InstaStory peribadinya untuk menceritakan mengenai kebolehan jurulatih kelahiran Kangar, Perlis itu.
Sebelum ini, Obiozor pernah berkesempatan menerima tunjuk ajar daripada Yusri ketika pengendali tersebut masih berada dalam skuad muda Perak FC.
Penyerang kelahiran Nigeria itu diletakkan dalam skuad Piala MFL memandangkan prestasinya yang amat mengecewakan bersama pasukan senior mereka.
Secara keseluruhan, pemain berusia 28 tahun berkenaan hanya merekodkan sembilan penampilan dalam kesemua pertandingan buat Perak FC dengan satu gol dan satu bantuan jaringan diperolehinya.
Kini, Obiozor difahamkan tidak terikat dengan mana-mana kelab selepas kontraknya bersama skuad TBG ditamatkan ketika jendela perpindahan kedua yang lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram